Jatuh RM503 se gram, orang ramai pakat serbu kedai emas

Jatuh RM503 se gram, orang ramai pakat serbu kedai emas

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kejatuhan harga emas sehingga mencecah RM503 per gram menyebabkan ramai penduduk di Kelantan mengambil kesempatan menyerbu kedai emas sejak semalam.

Tinjauan di sekitar Pasar Siti Khadijah mendapati, kebanyakan kedai emas dikunjungi pengunjung dan mereka mengambil kesempatan untuk membeli ketika harga disifatkan menjunam.

Mereka mendakwa, harga setakat ini disifatkan paling murah antara RM503 dan RM504 bagi setiap gram.

Pengunjung, Halima Osman, 45, berkata, dia sendiri tidak menyangka harga emas jatuh merudum berbanding sebelum ini hampir mencecah RM600 per gram.

“Saya seorang penggemar emas dan sudah beberapa minggu melihat harga makin jatuh dan rasanya ini paling murah apabila RM503 per gram.

“Setiap kali harga turun saya akan mengambil kesempatan untuk membeli bagi menambah koleksi sedia ada.

“Macam hari ini saya membeli gelang memandangkan harga murah. Waktu murah kita membeli, manakala waktu mahal pula kita boleh menjual, barulah ada untung,” katanya.

Pengunjung, Nur Ain Abdul Manaf, 30, turut mengambil peluang membeli rantai leher dan gelang kaki.

“Sejak dulu hingga sekarang saya seorang yang penyimpan emas kerana merasakan tidak rugi apabila melabur dengan membeli emas perhiasan.

“Sekarang harga murah kita beli, mungkin akan datang apabila perlukan duit, kita jual. Alhamdulillah harga rasanya paling rendah setakat ini.

“Apabila harga murah, boleh la kita tambah koleksi sedia ada. Sepanjang saya berada di kedai emas, semua datang untuk membeli, bukannya untuk menjual,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top