Pembatalan projek di Sabah dan Sarawak jika dilakukan secara tidak adil tanpa alasan munasabah merupakan satu bentuk diskriminasi yang perlu dipandang serius dan disiasat segera, kata Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Foto: Berita Harian
Beliau menegaskan rakyat di kedua-dua negeri berhak mendapat peluang pembangunan yang saksama, selain mengetahui asas keputusan pembatalan projek yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
“Sabah dan Sarawak bukan negeri kelas kedua dalam Persekutuan Malaysia. Rakyat Borneo berhak menikmati pembangunan yang adil dan saksama, bukan terus dibebani jurang pembangunan sedangkan harapan mereka berulang kali dipertaruhkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri 1 berhubung pembatalan projek di Sabah dan Sarawak.
Menurut Aliakbar, kerajaan perlu menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sebab pembatalan dan meneliti proses keputusan dibuat, termasuk mendedahkan individu atau pihak yang bertanggungjawab.
Katanya, penjelasan terbuka perlu diberikan sekiranya keputusan berkenaan berpunca daripada kekangan teknikal atau kewangan.
“Kerajaan tidak boleh berlindung di sebalik alasan birokrasi. Jika pembatalan dibuat atas faktor teknikal atau kewangan, jelaskan secara terbuka.
“Jika wujud unsur pilih kasih, diskriminasi atau penyalahgunaan kuasa, tindakan tegas mesti diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Aliakbar turut mengingatkan bahawa pembangunan merupakan amanah kerajaan kerana setiap projek yang dibatalkan boleh menjejaskan kemudahan asas serta masa depan generasi akan datang.
Beliau menegaskan desakan PAS Sabah itu berlandaskan tuntutan keadilan dan bukannya bertujuan membangkitkan sentimen kenegerian.
“Jangan biarkan Sabah dan Sarawak hanya diingati ketika diperlukan, tetapi diketepikan ketika hak pembangunan diputuskan,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan memberikan penjelasan rasmi berasaskan fakta serta memastikan projek penting kepada rakyat tidak dibatalkan sewenang-wenangnya.
Sumber: Facebook Aliakbar Gulasan




