MELAKA: MCA tidak akan menarik diri daripada kerjasama Barisan Nasional (BN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
meskipun tindakan beberapa pemimpin parti itu keluar dewan ketika pengumuman calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Sabtu lalu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan beliau dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir serta Ketua Pemuda, Datuk Muhamad Akmal Saleh baru-baru ini menunjukkan perkembangan positif.
Memuatkan artikel berkaitan…
Menurutnya, dakwaan MCA akan menarik diri daripada PRN berkenaan tidak berbangkit dalam pertemuan itu.
“Tidak ada, tidak timbul langsung (MCA ingin tarik diri). Semuanya positif.
“Saya menyerahkan kepada Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, untuk mengumumkan hasil pertemuan berkenaan kerana beliau telah diberi mandat untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka JELITA-Latihan Intensif 12 Jam di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.
Pada majlis pengumuman calon BN di MITC di sini Sabtu lalu, Wee dilaporkan keluar dewan bersama beberapa pemimpin MCA, termasuk dua calon parti itu bagi PRN Melaka, iaitu Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong, yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dan Datuk Ngwe Hee Sem di DUN Machap Jaya.
Tindakan itu menarik perhatian ketika BN mengumumkan senarai calonnya bagi mempertahankan penguasaan di negeri berkenaan, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai pendirian MCA dalam menghadapi PRN kali ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata, BN tidak melihat keperluan untuk menukar calon yang telah diumumkan meskipun timbul beberapa bantahan di peringkat akar umbi, termasuk di kerusi Durian Tunggal dan Pantai Kundor.
Beliau berkata, permasalahan sedemikian lazim berlaku dalam mana-mana pilihan raya dan boleh diselesaikan menerusi perbincangan dalaman.
“Di mana-mana pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri, apatah lagi pilihan raya umum, memang ada permasalahan yang begini, bukan hanya kepada BN sahaja, tetapi berlaku juga kepada parti-parti gabungan yang lain.
“Ini sesuatu yang lazim dan tidak ada sesuatu yang mustahil untuk kita cari jalan penyelesaian yang terbaik,” katanya.
Ditanya sama ada penyelesaian dalaman itu mungkin melibatkan pertukaran calon sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini, beliau berkata beliau tidak melihat perkara itu akan berlaku.
“Saya tidak nampak ke arah itu,” katanya. – UTUSAN




