Jangan biar Harimau Malaya bermula ‘kosong’

Jangan biar Harimau Malaya bermula ‘kosong’

PETALING JAYA: Pelantikan jurulatih baharu ketika Harimau Malaya berada di prestasi terbaik berisiko menyebabkan skuad kebangsaan hilang momentum dan perlu bermula dari ‘kosong’ untuk membina semula kekuatan.

Kebimbangan itu disuarakan Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani yang berpandangan Tan Cheng Hoe wajar terus diberikan kepercayaan membimbing Harimau Malaya selepas cemerlang di Piala ASEAN FIFA 2026.

Katanya, keharmonian dan kesinambungan dalam pasukan amat penting, terutama apabila rata-rata pemain skuad kebangsaan sudah mengenali pendekatan jurulatih serta memahami corak permainan yang ingin diterapkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saya, Cheng Hoe boleh dipertimbangkan kerana dia sudah kenal pemain. Pemain pun sudah tahu cara dia bekerja dan mereka sudah serasi. Kalau ambil jurulatih lain, kita mungkin terpaksa bermula dari kosong semula.

“Saya bukan menolak pelantikan jurulatih baharu, tetapi kena tengok keadaan. Sekarang kita semakin hampir untuk dua aksi persahabatan menentang China dan Yaman, jadi rasanya Cheng Hoe wajar dikekalkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, proses membina keserasian antara jurulatih dengan pemain bukan sesuatu yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat, justeru, pengalaman Cheng Hoe bersama pemain sedia ada dilihat sebagai satu kelebihan yang boleh dimanfaatkan.

Hassan turut berpandangan kejayaan dan pengalaman Cheng Hoe di Piala ASEAN FIFA sebelum ini dengan rekod tanpa kalah dan tanpa bolos wajar dijadikan antara pertimbangan utama dalam menentukan hala tuju baharu Harimau Malaya.

“Setiap perlawanan yang membabitkan Harimau Malaya perlu diberikan perhatian serius, termasuk aksi persahabatan antarabangsa. Kemenangan tetap penting untuk menjaga imej negara di pentas antarabangsa, selain menaikkan semula ranking.

“Walaupun hanya perlawanan persahabatan, kita tetap kena menang. Kita bawa nama negara, jadi imej Harimau Malaya itu perlu dijaga. Kalau boleh, kita bukan sahaja menang, tetapi menang dengan jaringan gol yang lebih banyak,” katanya.

Mengulas aspek taktikal, Hassan berpendapat perkara paling penting dalam sesebuah pasukan ialah semangat kerja berpasukan kerana taktikal yang baik perlu disokong oleh persefahaman antara pemain, disiplin serta keupayaan menyerang secara tersusun.

“Taktikal bagi saya, apa yang paling penting ialah kerja berpasukan. Pemain kena faham peranan masing-masing, saling membantu dan bermain sebagai satu pasukan. Kalau semua boleh bekerjasama, barulah kita boleh tengok permainan yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top