rahmat@nst.com.my
Kuala Lumpur: Seorang bekas anggota polis memohon campur tangan Peguam Negara (AG) bagi membuka semula siasatan kes pukul membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, yang didakwa berlaku lebih sedekad lalu.
Langkah itu dibuat seminggu selepas Mohd Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lalu.
Peguam Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, anak guam mereka, Saifuddin Abdul Kader, membuat laporan polis terhadap Mohd Shuhaily pada 19 November 2015, ketika Mohd Shuhaily berkhidmat sebagai Ketua Polis Daerah Hilir Perak.
Bagaimanapun, mereka mendakwa tiada sebarang tindakan diambil terhadap Mohd Shuhaily berhubung laporan berkenaan.
“Kami menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang pengadu yang mendakwa dipukul Shuhaily pada tahun 2015.
“Walaupun laporan polis sudah dibuat, tiada sebarang tindakan diambil terhadap Shuhaily sehingga ke hari ini,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Saifuddin yang juga anggota polis pangkat rendah pada ketika itu, berdepan dengan pelbagai kesukaran dalam kerjayanya selepas membuat laporan berkenaan sehingga akhirnya diberhentikan daripada pasukan keselamatan itu.
Berdasarkan laporan polis itu, Saifuddin mendakwa kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi, 17 November 2015 ketika dia sedang bertugas menjaga pos pengawal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Dia mendakwa Mohd Shuhaily menegurnya kerana gagal memberikan tabik hormat sebelum memarahinya berulang kali di hadapan anggota polis yang lain.
Saifuddin turut mendakwa Mohd Shuhaily menumbuk pergelangan tangan kirinya sebanyak sekali dalam pertikaian itu, selain mengugut untuk menukarkannya ke Sabah atau Sarawak serta mengenakan tindakan tatatertib terhadapnya.
Peguam terbabit menyatakan anak guam mereka percaya ini adalah peluang untuk menuntut keadilan, susulan keputusan Peguam Negara mendakwa Mohd Shuhaily dalam kes berasingan di KLIA baru-baru ini.
“Selepas melihat prinsip kesamarataan di sisi undang-undang tanpa diskriminasi ditunjukkan Peguam Negara dalam membawa pertuduhan terhadap Shuhaily, Saifuddin percaya dia masih mempunyai peluang untuk mendapatkan keadilan di bawah pentadbiran semasa.
“Kami dengan penuh hormat memohon kes ini disemak dan dipertimbangkan semula bagi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus ditegakkan tanpa diskriminasi,” kata mereka.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan dengan sengaja mencederakan dua anggota polis di KLIA pada 28 September.
Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




