Istanbul: Sebuah kapal tangki minyak terbakar selepas terkena periuk api laut di timur Selat Hormuz, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
Agensi berita rasmi Iran (IRNA) melaporkan pada Selasa bahawa Tentera Laut Iran berkata kapal tangki itu mematikan sistem pengesanannya dan cuba melalui kawasan yang “dihadkan dan tidak selamat” sebelum terkena periuk api berkenaan.
Kapal itu mengalami kerosakan dan terbakar, menurut kenyataan itu.
Tentera Laut Iran tidak memberikan butiran mengenai identiti kapal tangki berkenaan, negara benderanya, anak kapal atau kemungkinan jumlah kematian.
Pasukan itu berkata Selat Hormuz kekal “tidak selamat dan ditutup” kepada kapal yang cuba melaluinya tanpa penyelarasan terlebih dahulu.
Tentera Laut Iran menegaskan, kapal yang ingin melalui laluan itu dengan selamat perlu menyelaraskan perjalanan dengan Angkatan Tentera Iran.
Insiden itu berlaku ketika usaha diplomatik sedang dijalankan untuk menamatkan konflik yang melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS), dengan negara serantau berusaha memudah cara rundingan dan mengurangkan ketegangan.
Turkiye, Arab Saudi, Pakistan dan Iran juga terus menjalin hubungan diplomatik mengenai keselamatan serantau, termasuk perbincangan bagi meredakan ketegangan dan menyokong usaha mencapai penyelesaian berkekalan.
Washington dan Tehran menandatangani memorandum persefahaman pada Jun dan memulakan rundingan yang kemudiannya gagal akibat perselisihan mengenai pelayaran melalui Selat Hormuz, laluan strategik bagi bekalan tenaga dan barangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




