Mayat remaja 14 tahun di mulut buaya

Mayat remaja 14 tahun di mulut buaya

Sebuyau: Kelibat seekor buaya dipercayai membawa sesuatu di dalam mulutnya membawa kepada penemuan mayat remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang akibat dibaham reptilia itu di Ulu Sungai Plaie, di sini.

Mangsa, Mohd Nordin Mohd Othman, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 800 meter dari jeti Kampung Tuba, jam 8 malam tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, penemuan itu susulan maklumat penduduk Kampung Tuba yang terlihat seekor buaya dipercayai membawa sesuatu di dalam mulutnya kira-kira jam 6 petang.

Ketika itu, penduduk terbabit dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga mangsa di Kampung Plaie.

“Penduduk kampung kemudian kembali ke lokasi kira-kira jam 8 malam sebelum menemukan mayat mangsa yang dipercayai dimuntahkan buaya berkenaan,” katanya.

Pengecaman fizikal dilakukan datuk mangsa, Dana Randi, sebelum identitinya disahkan.

Pemeriksaan awal mendapati mangsa kehilangan beberapa anggota badan selain terdapat kesan gigitan dan kecederaan pada tubuhnya.

Mayat kemudian dibawa ke Hospital Simunjan oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa disambar buaya ketika menjalankan kerja memunggah buah sawit ke dalam perahu di Sungai Plaie, Ulu Sebuyau, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu disaksikan bapa saudara mangsa, Midin Radin, sebelum maklumat berhubung insiden berkenaan disampaikan kepada Ketua Kampung Sungai Plaie.

Berikutan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 4 pagi hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top