Pemegang Kad DPP boleh bekerja, kerajaan mahu elak eksploitasi sindiket – Saifuddin Nasution

Pemegang Kad DPP boleh bekerja, kerajaan mahu elak eksploitasi sindiket – Saifuddin Nasution

Kerajaan memberikan akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal untuk pelarian yang memiliki Kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), sebagai langkah mengelakkan golongan itu dieksploitasi sindiket atau terlibat dalam ekonomi gelap.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan tersebut turut menjadi alternatif kepada pengambilan pekerja asing baharu, selaras dengan usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Bagi mengelakkan pelarian terjerumus ke dalam ekonomi gelap (shadow economy) atau dieksploitasi oleh sindiket, kerajaan memberikan pemegang Kad DPP akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal.
“Kemahiran dan pengalaman bekerja yang dimiliki oleh pemegang Kad DPP akan membuka peluang yang lebih baik untuk mendapat penempatan ke negara ketiga melalui laluan pelengkap (complementary pathway),” katanya.

Beliau menjelaskan perkara itu dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah) mengenai strategi jangka panjang kerajaan mengurus isu Rohingya.

Saifuddin menegaskan, pelaksanaan DPP bertujuan mengurus keberadaan pelarian secara sementara dan tidak memberikan hak penempatan kekal di Malaysia.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus membantu rundingan bersama negara asal, negara penerima dan agensi antarabangsa bagi mencari penyelesaian yang mengambil kira aspek kemanusiaan serta keselamatan negara.

Dalam masa sama, beliau berkata, akses perkhidmatan sosial kepada pemegang Kad DPP tidak akan mengambil kemudahan yang disediakan kerajaan untuk rakyat tempatan.

“Sebagai contoh, perkhidmatan kesihatan kepada pelarian DPP hanya akan diberikan secara berinsurans atau berbayar tanpa subsidi kerajaan bagi melindungi fasiliti kesihatan awam.
“Akses pendidikan dan latihan asas turut disediakan kepada kanak-kanak pelarian bagi mengelakkan mereka terdedah kepada kegiatan jenayah jalanan, eksploitasi, atau ancaman sosial tetapi melalui institusi pendidikan swasta,” jelasnya.

Mengulas pengurusan data pelarian, Saifuddin berkata, kerajaan mengambil alih urusan pendaftaran secara berperingkat daripada UNHCR melalui Jabatan Imigresen.

Program DPP yang bermula pada 1 Januari lalu merangkumi pendaftaran maklumat peribadi, pengumpulan data biometrik, semakan latar belakang, tapisan keselamatan dan proses penentuan status pelarian.

Menurut jawapan itu, pelaksanaannya masih pada Fasa 1 dengan tumpuan terhadap tahanan di Depot Tahanan Imigresen yang mengaku sebagai pelarian.

Seramai 4,008 tahanan direkodkan berpotensi menerima perlindungan sementara, namun kelayakan mereka tertakluk kepada tapisan keselamatan dan keputusan penentuan status oleh kerajaan.

Individu yang disahkan sebagai pelarian akan diberikan Kad DPP, iaitu pas khas di bawah Peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kad tersebut membenarkan pemegangnya tinggal sementara di Malaysia, kecuali Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, sehingga urusan penyelesaian akhir dilaksanakan.

“Tiga pengurusan akhir itu ialah penempatan di negara ketiga, pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan dan diusir keluar jika melakukan jenayah dan melanggar syarat-syarat pas DPP yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Pergerakan pemegang Kad DPP dikawal mengikut zon geografi dan dilarang merentas negeri tanpa kebenaran khas Imigresen. Kad DPP wajib diperbaharui setiap tahun,” tambahnya lagi.

Sumber: Berita Harian

Scroll to Top