rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Walaupun teruja dengan kemenangan 3-0 ke atas Port FC dalam saingan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui barisan pemainnya terpaksa berdepan corak permainan bertahan kelab dari Thailand itu yang langsung tidak memberi ruang untuk menyusup masuk ke dalam kotak penalti.
Menurutnya, akibat kesukaran menembusi benteng ampuh skuad kendalian Bozidar Bandovic, pemain tengah dan penyerang Harimau Selatan terpaksa melakukan percubaan di luar kotak penalti pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
“Saya tak pasti berapa banyak percubaaan di luar kotak penalti pada babak pertama dan ini salah satu aspek penting yang perlu kita perkemaskan lagi jika berdepan situasi begitu.
“Pada babak kedua, situasi menjadi lebih efektif apabila kami mengubah transisi permainan dan menstruktur semula gaya serangan dan hasilnya kami berjaya menjaringkan tiga gol untuk melakar kemenangan cukup bermakna.
“Beraksi di pentas Liga Juara- Juara Asia Elit (ACLE) memang sukar untuk mencipta gol pertama kerana dalam permainan anda tidak tahu apa yang berlaku dan saya sering menekan pentingnya untuk melakukan serang balas sebaik sahaja kita kehilangan bola,” katanya.
Menyentuh mengenai kecederaan dialami Bergson da Silva yang masuk menggantikan Shahab Zahedi pada minit ke-57 dan berjaya menjaringkan gol namun hanya mampu beraksi selama tujuh minit sebelum dikeluarkan, Munoz berkata pemain itu.
“Bergson mengalami sedikit kecederaan sebelum menjaringkan gol dan sudah memaklumkan kepada saya namun dia mahu diturunkan untuk membantu pasukan. Kita akan lakukan imbasan pengimejan resonans magnet (MRI) untuk mengesan tahap kecederaannya,” ujar Munoz.
Pemain terbaik perlawanan, Arif Aiman Hanapi pula tetap syukur selepas JDT meraih kemenangan dan tidak terkilan selepas deretan percubaan yang dilakukan gagal menemui sentuhan penyudah.
“Dalam bola sepak itu cabarannya, ada ketika boleh jaringkan gol dan ada masa tidak dapat robek gol lawan, namun bagi saya kegagalan bukanlah penamat tetapi beri lebih cabaran untuk saya perkemaskan lagi corak permainan,” ujar Arif Aiman.
Sementara itu, pengendali Port FC, Bozidar Bandovic menegaskan corak permainan bertahan (low block) yang dipratikkan pada pertembungan menentang JDT hanya bertahan dalam tempoh babak pertama sebelum tewas 0-3.
Jelas Bandovic, formasi membentuk lima pemain tengah dan empat pemain pemain pertahanan tampak berkesan apabila beraksi secara kompak dan tidak memberi ruang buat pemain bimbingan Munoz menyusup masuk ke dalam kotak penalti.
Pada aksi yang jelas dikuasai JDT semalam, anak didik Munoz terpaksa menanti sehingga minit ke-53 menerusi jaringan Jonathan Silva disusuli gol Bergson da Silva pada minit ke-57 dan Stoichkov melengkapkan malam gemilang buat Harimau Selatan pada minit ke-86.
© New Straits Times Press (M) Bhd




