Sihanoukville, Kemboja: Kira-kira 200 penumpang yang membayar untuk tinggal di kapal persiaran sambil mengembara ke seluruh dunia terkandas secara tiba-tiba di sebuah pelabuhan di Kemboja selepas syarikat pengendalinya kehabisan wang, menurut seorang pegawai pada Rabu.
Pengendali berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Villa Vie Residences, pada Selasa mengumumkan bahawa pihaknya menggantung operasi di Kemboja ketika berusaha menangani “kenaikan luar biasa” kos bahan api susulan perang Iran.
Kapal Odyssey sepanjang 200 meter (656 kaki) itu meninggalkan Ireland Utara pada Oktober 2024 untuk pelayaran berterusan yang membolehkan penghuni membeli atau menyewa bilik bagi tujuan percutian atau menetap sepanjang hayat, malah ada penumpang menjual semua harta benda mereka untuk membiayai perjalanan berkenaan.
Bagaimanapun, penumpang hanya diberi tempoh tujuh jam untuk mengemas barang dan meninggalkan kapal ketika ia singgah mengikut jadual di pelabuhan Sihanoukville, Kemboja, menurut Timbalan Gabenor Wilayah Preah Sihanouk, Long Dimanche.
Dalam kenyataan, beliau berkata seramai 203 penumpang dan 156 kru tiba dari Thailand pada 23 Oktober menaiki kapal berbendera Bahamas itu sebelum dijadualkan meneruskan perjalanan ke Vietnam.
“Arahan mengejut supaya mereka turun dari kapal menyebabkan ramai pesara dan pekerja jarak jauh kehilangan tempat tinggal, beribu-ribu kilometer dari negara asal masing-masing,” katanya.
Sebahagian penumpang menaiki penerbangan untuk meninggalkan Kemboja, manakala yang lain masih berada di bandar itu, katanya.
Kapal berkenaan pula dijadualkan mengisi bahan api sebelum berlepas pada 31 Oktober.
Randy Cassingham, seorang penumpang yang mengendalikan blog pelayaran, menulis bahawa arahan supaya penumpang turun itu menyusuli rentetan masalah yang berlaku.
Dalam hantaran bertajuk “Tinggalkan Kapal!”, beliau berkata pelancaran kapal dari Belfast tertangguh selama empat bulan, manakala jumlah penghuninya tidak pernah mencapai kapasiti maksimum 650 orang, dengan jumlah tertinggi sekitar 350 orang.
Beliau berkata kapal itu bukanlah kapal “mewah”, sebaliknya menawarkan harga berpatutan sehinggalah syarikat berkenaan mula merayu meminta wang.
Dalam kenyataannya, Villa Vie berkata perbelanjaan bahan api bulanan bagi setiap kabin meningkat daripada purata AS$1,800 kepada anggaran AS$6,000 hingga AS$8,000 di beberapa kawasan Asia.
“Syarikat tidak boleh sewenang-wenangnya memindahkan kenaikan kos sebesar itu kepada penghuni, manakala kekurangan pendapatan yang terhasil menyebabkan model operasi semasanya berdepan tekanan kewangan yang tidak lagi mampan,” katanya.
Cassingham menuduh syarikat itu langsung tidak melakukan apa-apa untuk membantu penumpang yang terkandas.
Villa Vie berkata pihaknya bekerjasama dengan penghuni untuk menyelaraskan proses turun dari kapal dan mengenal pasti penginapan sementara.
“Villa Vie Residences menyedari bahawa keadaan ini merupakan tempoh yang sukar dan mengganggu kehidupan penghuni, kru serta kakitangan, dan sedang berusaha membantu mereka yang terjejas sementara rancangan selanjutnya dibangunkan,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




