sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas bakal kehilangan khidmat Faisal Halim akibat kecederaan, kini giliran pemain naturalisasi, Bergson Da Silva pula mencetuskan kebimbangan buat Harimau Malaya.
Mesin gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengalami kecederaan ketika membantu pasukannya meraih kemenangan 3-0 ke atas Port FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim semalam.
Bergson hanya sempat beraksi selama tujuh minit selepas masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-57 sebelum di keluarkan, namun dia sempat menyumbang satu gol buat Harimau Selatan dalam tempoh singkat itu.
Tahap kecederaan yang dialami penyerang berusia 35 tahun itu masih belum dapat dipastikan dengan ia sudah pasti mewujudkan kebimbangan dalam kalangan peminat JDT dan Harimau Malaya.
Pengendali JDT, Xisco Munoz dilaporkan berkata pemain kelahiran Brazil itu dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan berharap tonggak penting berkenaan dapat pulih untuk aksi seterusnya.
“Bergson mengalami sedikit kecederaan sebelum menjaringkan gol. Kita akan lakukan imbasan untuk mengesan tahap kecederaannya,” kata Munoz.
Kem Harimau Malaya bagi aksi persahabatan menentang China dan Yaman dijangka hanya akan bermula pada 9 November ini dengan Bergson mungkin sempat pulih sekiranya kecederaannya tidak serius.
Sebelum ini, Harimau Malaya bakal terlepas kehilangan khidmat Faisal bagi aksi menentang China, 14 November ini dan Yaman (17 November) apabila kapten Selangor itu perlu menjalani pemulihan antara dua hingga tiga bulan.
Pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe sebelum ini memaklumkan pihaknya sedang menantau dan meneliti barisan pemain yang akan dipanggil untuk menyertai kem bagi dua aksi persahabatan itu.
Bergson membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya pada kempen Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Indonesia pada hujung bulan lalu dan awal bulan ini dengan dia memberi impak besar apabila menyumbangkan empat gol sepanjang kejohanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




