Kem Netanyahu mendahului, gagal kuasai majoriti kerusi Knesset

Kem Netanyahu mendahului, gagal kuasai majoriti kerusi Knesset

TEL AVIV – Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengatasi puak pembangkang pimpinan, Gadi Eisenkot, namun masih belum memperoleh majoriti berdasarkan keputusan awal Pilihan Raya Umum Israel pada Rabu.

Hasil kiraan kira-kira 50 peratus undi menunjukkan kem Netanyahu mendahului dengan 55 kerusi, manakala blok Eisenkot meraih 49 kerusi disusuli parti-parti Arab dengan 16 kerusi.

Jumlah itu dijangka berubah selepas proses kiraan kesemua undi selesai.

Keputusan awal itu menunjukkan rundingan dengan parti-parti lebih kecil berkemungkinan memainkan peranan penting dalam menentukan pembentukan kerajaan gabungan seterusnya.

Media tempatan melaporkan pengumuman keputusan akhir dijangka pada petang Khamis atau pagi Jumaat.

Ketika berucap kepada penyokongnya di Tel Aviv, Eisenkot, 66, mengeluarkan amaran secara tersirat kepada Netanyahu, yang menurut pemerhati mungkin menggunakan konflik bersenjata untuk mendorong pembentukan kerajaan perpaduan.

“Netanyahu, usah sesekali mempergunakan keselamatan Israel demi kepentingan politik kamu,” kata Eisenkot yang menggelar Netanyahu sebagai ‘Perdana Menteri sementara yang tidak mempunyai mandat atau kepercayaan rakyat’.

Pilihan raya itu berlangsung ketika Israel semakin terasing di pentas antarabangsa susulan perang di Iran dan kempen pencerobohan berterusan di Gaza selain peluasan projek pembinaan penempatan haram Yahudi serta keganasan kian berleluasa ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat. – AFP

 

Scroll to Top