syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) terus konsisten membela nasib penggiat seni veteran apabila menyalurkan sumbangan wang tunai keseluruhan berjumlah RM15,000 sempena sambutan Deepavali yang bakal menjelang.
Pengerusinya, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Datuk DJ Dave, 78, berkata menerusi inisiatif itu, seramai 15 penggiat seni tanah air menerima sumbangan wang tunai RM1,000 seorang bagi membantu meringankan beban kewangan serta persiapan perayaan.
Menurutnya, penerima sumbangan terdiri daripada lapan penggiat seni berbangsa India, lima Melayu dan dua Cina sebagai cerminan keprihatinan YKAT terhadap kebajikan anak seni tanpa mengira kaum mahupun agama.
“Deepavali membawa mesej yang sangat bermakna iaitu kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan serta harapan mengatasi kesukaran.
“Bagi saya, nilai-nilai ini amat dekat dengan perjuangan YKAT kerana kita percaya setiap insan berhak menikmati kehidupan yang lebih baik tanpa mengira latar belakang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Perayaan Deepavali 2026, hari ini.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Pemegang Amanah YKAT, Dr S Kanagarajan.
Mengulas lanjut, DJ Dave menegaskan YKAT akan terus komited membantu penggiat seni khususnya golongan veteran yang berdepan ujian kesihatan, kesukaran hidup serta kekangan kewangan.
Jelasnya, pengorbanan anak seni yang pernah mencurahkan bakat dan tenaga mewarnai industri hiburan tanah air wajar terus dihargai serta tidak dilupakan begitu sahaja.
DJ Dave berharap sumbangan berkenaan dapat membawa ceria dan memberi semangat kepada penerima untuk menyambut Deepavali bersama keluarga tersayang.
Antara penerima sumbangan pada majlis itu ialah penyanyi, M R Krishnaveni, Siew Fook Choy, Tang Lee Choon, M Bala Subramaniam, R Ragunathan dan M Arumainathan.
Turut menerima sumbangan termasuk pemuzik M Vallakrishnan, Jasmir Margani, Ismail Hitam, Mohamad Sharip Ya’acob dan Md Nasir Yusof, selain pelakon Norazian Salehan, Gusion Lal Sukh Chain serta M Maheswaran dan R Alavian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




