am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang memantau perkembangan nahas dua kereta api berkelajuan tinggi di Sepanyol, hari ini yang dilapor meragut nyawa dan mencederakan penumpang.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, setakat ini kedutaan belum menerima pengesahan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas dalam kejadian berhampiran Urda, Toledo.
Menurutnya, kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali perkhidmatan kereta api bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang.
“Pada peringkat awal ini, pihak kedutaan masih belum menerima pengesahan mengenai mana-mana rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden tersebut.
“Kedutaan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Sepanyol dan pengendali perkhidmatan kereta api yang berkaitan bagi memastikan sama ada terdapat rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang yang terlibat serta menyelaras bantuan konsular sekiranya diperlukan,” katanya.
Wisma Putra memaklumkan, perlanggaran dua kereta api penumpang berkelajuan tinggi itu berlaku kira-kira 8.54 pagi waktu tempatan, dengan operasi menyelamat masih diteruskan.
“Perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan Andalusia dilaporkan digantung susulan insiden tersebut.
“Rakyat Malaysia yang sedang melakukan perjalanan di Sepanyol, khususnya mereka yang merancang untuk menggunakan perkhidmatan kereta api yang terjejas dinasihati supaya menyemak perkembangan terkini perkhidmatan secara langsung dengan pengendali masing-masing dan membuat pengaturan perjalanan alternatif sekiranya perlu,” katanya.
Wisma Putra turut menggesa rakyat Malaysia yang mungkin terjejas atau individu yang mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang mungkin terbabit supaya menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Madrid.
Menurutnya, langkah itu bagi membantu proses pengesahan dan penyaluran bantuan konsular sekiranya diperlukan.
“Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang berada di Sepanyol turut digalakkan untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan melalui portal e-Konsular,” katanya.
Bagi bantuan konsular segera atau kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam kedutaan di +34 659 894 943.
Pertanyaan am boleh dibuat melalui +34 91 555 0684 atau +34 91 555 0737, selain e-mel mwmadrid@kln.gov.my.
Wisma Putra akan terus memantau perkembangan nahas berkenaan dan memaklumkan perkembangan lanjut sekiranya perlu.
Nahas berhampiran Urda, Toledo berlaku apabila sebuah kereta api berkelajuan tinggi AVE kendalian Renfe dilaporkan merempuh bahagian belakang kereta api Iryo di laluan Madrid ke Seville.
© New Straits Times Press (M) Bhd




