sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mendedahkan dia terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat demam panas sehingga muntah, semalam iaitu sehari sebelum turun beraksi pada pusingan pertama Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman, hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu, berkata doktor turut menasihatkannya menarik diri daripada perlawanan, namun dia enggan mengalah dan memilih untuk meneruskan perjuangan di gelanggang.
Zii Jia yang menghuni ranking ke-42 dunia akhirnya membuktikan semangat juang tingginya apabila menewaskan pemain Singapura, Jason Teh yang berada di ranking ke-33 dunia, 21-16, 19-21, 21-17 dalam tempoh 59 minit di Saarlandhalle.
Malah, emosi pemain negara itu jelas terpancar apabila dia menjerit sejurus meraih mata kemenangan, menggambarkan kelegaan selepas mengharungi detik sukar sebelum dan sepanjang perlawanan.
“Semalam saya pergi ke hospital kerana mengalami demam yang sangat teruk dan saya juga muntah.
“Doktor menasihatkan saya menarik diri, tetapi saya tidak mahu mengalah. Sebab itulah anda dapat melihat emosi saya sebentar tadi. Saya baru sahaja mengatasi sesuatu yang sangat sukar,” katanya ketika temu bual bersama Badminton Eropah.
Kemenangan itu membolehkan Zii Jia melunaskan dendam terhadap Jason selepas tewas kepada pemain berkenaan pada pusingan pertama Terbuka Switzerland, Mac lalu.
Bekas juara Seluruh England itu turut menghidupkan peluang menamatkan kemarau gelaran selama dua tahun, dengan kejuaraan terakhirnya hadir pada Terbuka Australia 2024.
Selepas bergelut dengan prestasi tidak menentu musim ini, Zii Jia menunjukkan petanda kebangkitan apabila mara ke separuh akhir Terbuka Artik di Finland awal bulan ini.
Ujian lebih getir menanti pemain negara itu apabila dijadual berdepan pemain nombor sembilan dunia yang juga pilihan kelima dari Jepun, Kodai Naraoka, pada pusingan kedua esok.
Rekod pertemuan menyaksikan kedua-dua pemain terikat 3-3.
© New Straits Times Press (M) Bhd




