'Stars Align' slogan LA28

'Stars Align' slogan LA28

Los Angeles: Penganjur Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles 2028 memperkenalkan “Stars Align” sebagai slogan rasmi temasya itu, yang menggambarkan pertemuan antara persiapan atlet selama bertahun-tahun dengan peluang untuk menyerlah di ibu kota hiburan itu.

Kempen itu dilancarkan hari ini menerusi video promosi berdurasi 60 saat yang diiringi lagu popular kumpulan Red Hot Chili Peppers, “Can’t Stop”. Video berkenaan memaparkan mercu tanda di selatan California, termasuk papan tanda Hollywood dan Balai Cerap Griffith.

Walaupun slogan itu membangkitkan gambaran kemewahan Hollywood dan imej cakerawala, Ketua Pegawai Pemasaran LA28, Alex Merchan berkata, jawatankuasa penganjur mahu mesej berkenaan mengubah persepsi moden terhadap takdir.

“Bagi kami, ‘Stars Align’ bukan berasaskan nasib. Sebaliknya, ia berteraskan usaha dan komitmen.

“‘Stars Align’ berlaku apabila persiapan bertemu peluang, lalu kita mencipta sesuatu yang luar biasa,” kata Merchan kepada Reuters dalam satu temu bual.

Mengikut tradisi slogan temasya bandar tuan rumah, seperti “United by Emotion” bagi Tokyo 2020 dan “Games Wide Open” bagi Paris 2024, LA28 mahu mengetengahkan pentas sukan global selain identiti tempatan.

Merchan menegaskan slogan itu bukan hanya untuk kira-kira 15,000 atlet yang dijangka bertanding, malah merangkumi tenaga kerja tempatan, sukarelawan dan perniagaan kecil yang mengambil bahagian menerusi inisiatif seperti program vendor “Local Authentic” LA28.

“Ya, kami akan meraikan atlet terbabit, tetapi kita tidak boleh melupakan bahawa temasya ini akan dijayakan oleh semua pihak yang memainkan peranan untuk merealisasikannya,” kata Merchan sambil menambah kempen itu menjadi jemputan kepada masyarakat untuk turut serta lebih awal.

Sukan Olimpik dijadual membuka tirai pada 14 Julai 2028, diikuti Sukan Paralimpik pada 15 Ogos.

Pelancaran slogan itu menjadi satu lagi pencapaian penting dalam kempen komersial dan kebudayaan yang semakin rancak menjelang 2028. Kempen berkenaan turut merangkumi pengumuman laluan larian obor domestik merentasi kesemua 50 negeri di Amerika Syarikat serta pengenalan maskot rasmi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top