10 lelaki dicekup berjudi dalam kebun getah

10 lelaki dicekup berjudi dalam kebun getah

bhnews@bh.com.my

KUBANG PASU: Seramai 10 individu termasuk seorang warga Thailand ditahan polis ketika asyik berjudi dalam kebun getah di Kampung Naga, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, berkata dalam serbuan Op Dadu

pada jam 10 malam itu ada yang cuba melarikan diri di kawasan semak berhampiran namun berjaya ditahan polis.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menyerbu kawasan berkenaan.

“Mereka yang ditahan berusia antara 32 tahun hingga 58 tahun dan berasal dari Jitra serta Alor Setar manakala warga Thailand terbabit didapati, tidak memiliki sebarang dokumen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, enam daripada individu yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes jenayah dan dadah.

Beliau berkata, turut dirampas wang tunai RM27,860, meja kayu, kain bertulis angka, cawan dan piring seramik, lapan kerusi plastik, tiga dadu dan lampu suluh.

“Kesemua tangkapan ditahan reman dua hari mulai bermula hari ini sehingga esok untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (PPDPPB) 2021,” katanya.

Kesemua mereka turut dikompaun RM4,000 seorang bagi kesalahan Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top