am@hmetro.com.my
Bayan Baru: Sebahagian laluan Lebuh Raya Mayang Pasir di sini ditutup sehingga 31 Oktober bagi membolehkan kerja baik pulih struktur jalan susulan kejadian lubang benam, semalam.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesulitan sepanjang tempoh penutupan.
“Penutupan jalan ini berikutan kewujudan lubang benam yang berlaku dan ia bagi memberi laluan kepada kerja baik pulih struktur jalan.
“Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Lebuh Mayang Pasir dan Jalan Mahsuri atau menerusi Lorong Mayang Pasir 5, Lebuh Mayang Pasir 2 dan Lorong Mayang Pasir 1.
“Pengguna jalan raya di kawasan berkenaan diminta beri kerjasama sepanjang penutupan jalan itu,” menurut kenyataan berkenaan.
Semalam, media melaporkan kejadian lubang benam itu disedari pengguna jalan raya pada jam 3.10 petang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, berkata lubang benam yang digenangi air itu terbentuk berhampiran rumah penduduk.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan JKR di lokasi, kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebocoran paip milik Indah Water Konsortium (IWK).
© New Straits Times Press (M) Bhd




