Pengurangan kuota negara penerima jejaskan sasaran penempatan semula pelarian global – UNHCR

Pengurangan kuota negara penerima jejaskan sasaran penempatan semula pelarian global – UNHCR

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kira-kira 2.4 juta pelarian di seluruh dunia dijangka memerlukan penempatan semula menjelang 2027, namun sasaran global itu berkemungkinan gagal dicapai susulan pengurangan kuota oleh negara penerima.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan, komuniti antarabangsa sebelum ini menetapkan sasaran 130,000 kuota penempatan semula pada 2022 untuk dicapai menjelang 2027.

“Situasi ini mencerminkan gabungan perubahan dasar di negara destinasi yang mengakibatkan penangguhan kemasukan, penetapan kriteria lebih ketat serta tunggakan dalam pemprosesan permohonan,” kata agensi itu menerusi satu kenyataan.

Menurut UNHCR, penempatan semula adalah instrumen perlindungan penting yang mampu menyelamatkan nyawa golongan pelarian paling rentan dan berisiko tinggi.

Kumpulan itu merangkumi mangsa keganasan atau penyeksaan, wanita serta kanak-kanak berisiko, individu dengan keperluan perubatan serius dan mereka yang berdepan ancaman keselamatan fizikal mahupun undang-undang.

“Secara global, kurang satu peratus pelarian berjaya ditempatkan semula setiap tahun berikutan kekosongan kuota terhad yang ditetapkan sepenuhnya oleh dasar tahunan negara penerima,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, UNHCR terus mendesak negara-negara berkaitan melipatgandakan usaha bagi memastikan akses penempatan semula dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan Malaysia sedang mengkaji semula keperluan kehadiran UNHCR di negara ini susulan kegagalan agensi berkenaan melaksanakan peranan menempatkan semula pelarian ke negara ketiga.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata, peranan UNHCR kini dilihat tidak lagi efektif jika dibandingkan ketika mengendalikan pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1990.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top