5 petugas Media Prima raih anugerah di Majlis Apresiasi Media Terengganu

5 petugas Media Prima raih anugerah di Majlis Apresiasi Media Terengganu

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) merangkul enam kategori anugerah Majlis Apresiasi Media Terengganu 2026 di sini, malam tadi.

Wartawan TV3, Mohd Ishak Abdillah Ngah merangkul tempat pertama Berita Terbaik Media Digital bagi kategori sosial menerusi berita Hari Jururawat Ikhlas yang melaporkan berita mengenai jururawat berdepan ragam pesakit ketika bertugas.

Wartawan Sambilan Berita Harian, Nurul Fatihah Sulaini turut meraih tempat pertama bagi Berita Terbaik Media Cetak kategori ekonomi menerusi berita ‘FGV akur notis arahan kosongkan premis’.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM500, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Jurugambar Sambilan NSTP, Ghazali Kori mendapat tempat kedua Foto Terbaik Media Cetak bagi kategori sosial menerusi foto Jahit Pukat dan tempat ketiga Foto Terbaik Media Digital bagi kategori sosial menerusi foto Banjir Kampung Tok Dor.

Ghazali menerima wang tunai RM300 bagi tempat kedua dan RM200 bagi tempat ketiga, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu wartawan sambilan TV3, Mohd Zamri Ghani merangkul tempat kedua Media Digital Video Terbaik kategori sosial menerusi video Remaja Bajak.

Wartawan Sukan Sambilan Harian Metro, Malik Muhamad merangkul tempat ketiga Berita Terbaik Media Digital bagi kategori sosial menerusi berita Tour Gateh D’tranung tarik 26 pasukan dalam dan luar negara’.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM300 serta RM200, trofi dan sijil penghargaan.

Majlis penyampaian anugerah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan, Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pada majlis itu juga, Anugerah Khas bagi kategori Tokoh Media Berpengaruh dianugerahkan kepada Datuk Mohd Fauzi Mustaffa manakala kategori Media Berjasa dianugerahkan kepada Wan Abd Rahman Wan Abd Hayat.

Beberapa anugerah lain turut disampaikan termasuk Media Sosial Terbaik kategori influencer (pempengaruh) dianugerahkan kepada Aina Batrisya Md Adam, Che Mohd Firdaus Abdullah serta Muhammad Adam Amri Alias.

Bagi kategori True Terengganu suara alam dua dianugerahkan kepada Geng Plastik Ija.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top