SEPANG: Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta meluahkan rasa kurang senang terhadap keadaan permukaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang didakwanya semakin memburuk dari tahun ke tahun sehingga menjejaskan keyakinannya ketika mengendalikan jentera.
Acosta berkata, keadaan permukaan asfalt yang semakin rosak, termasuk batu-batu kecil yang mula terkeluar daripada lapisan trek, menyebabkan pelumba berdepan risiko kehilangan cengkaman tayar hadapan.
Menurut pelumba MotoGP dari Sepanyol itu, masalah berkenaan bukan sekadar melibatkan permukaan litar yang tidak rata atau berbonggol, sebaliknya terdapat beberapa bahagian asfalt yang sudah terlalu teruk sehingga menyukarkan pelumba mengawal jentera.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Seperti setiap tahun, keadaan permukaan trek nampaknya semakin teruk. Ada bahagian asfalt yang sudah rosak dan kehilangan lapisan permukaannya.
“Sejujurnya, tidak banyak bonggol di litar ini tetapi apabila melalui bahagian yang keadaan asfalt benar-benar teruk, agak mudah untuk kehilangan cengkaman tayar hadapan.
“Masalahnya, keadaan ini semakin buruk setiap hari dan setiap tahun. Kali ini, batu-batu kecil juga sudah mula terkeluar daripada permukaan asfalt,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Acosta berkata demikian ketika diminta mengulas keadaan trek selepas seorang lagi pelumba MotoGP, Fabio Di Giannantonio menyifatkan permukaan SIC seakan-akan litar motocross.
Dalam perkembangan sama, Acosta mengakui masih belum menemui keserasian terbaik dengan jenteranya meskipun catatan masa yang direkodkan tidak terlalu jauh daripada kelompok pelumba terpantas.
“Saya tidak mendapat keyakinan pada bahagian hadapan jentera dan bergelut untuk mengambil selekoh serta mendapatkan titik membrek dengan sempurna,” ujarnya.
Bercakap pula tentang prestasi rakan sepasukan, Maverick Vinales dan pelumba KTM, Enea Bastianini yang menunjukkan peningkatan, Acosta menyifatkan perkembangan itu sesuatu yang positif buat pasukan.
Malah, dia turut tertarik dengan prestasi Vinales yang kembali menunjukkan kepantasan selepas bergelut susulan kecederaan sebelum ini.
Bagaimanapun, Acosta menegaskan keutamaannya ketika ini bukan sekadar mengejar kedudukan atau merapatkan jurang masa dengan pencabar, sebaliknya mencari penyelesaian terhadap masalah pengendalian jentera terutama ketika membrek. – UTUSAN




