‘Peruntukan dah naik hampir tiga kali ganda, tak cukup lagi?’ – Tengku Zafrul

‘Peruntukan dah naik hampir tiga kali ganda, tak cukup lagi?’ – Tengku Zafrul

SHAH ALAM – Pihak yang mendakwa peruntukan jalan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak sengaja dikurangkan termasuk gesaan supaya Kementerian Kewangan (MoF) menarik balik arahan pembatalan projek perlu melihat dari sudut angka sebenar perbelanjaan serta garis masa pelaksanaan.

Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, perbelanjaan jalan raya luar bandar diperuntukkan RM3.7 bilion untuk 2018 hingga 2022, manakala 2023 hingga 2027 disalurkan sebanyak RM11 bilion, peningkatan hampir tiga kali ganda.

Di Sabah dan Sarawak sahaja, menurut Tengku Zafrul, perbelanjaan sebenar tahun ini mencecah RM1.41 bilion iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Sejak 2023, sebanyak RM4.6 bilion dibelanjakan. Setiap tahun, kira-kira separuh daripada perbelanjaan jalan luar bandar seluruh negara disalurkan ke Sabah dan Sarawak. Dua negeri ini tidak dipinggirkan, sebaliknya didahulukan.

“Tetapi, mengapa ada projek yang ditangguhkan? Sejak 2022, perbelanjaan jalan luar bandar melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen setiap tahun.

“Komitmen kontrak terus bertambah sehingga berlaku tunggakan bayaran kepada kontraktor. Kita mesti ingat, MoF perlu mengimbangi keperluan semua kementerian,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa MoF meluluskan tambahan RM500 juta kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Surat Kebenaran Berbelanja (SKB) bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kontraktor, selain Notis Perubahan (NOC) berjumlah RM491 juta yang diluluskan lebih awal.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan meluluskan peruntukan tersebut.

Jelasnya, ia diperoleh daripada hasil penjimatan peruntukan pembangunan kementerian lain supaya tunggakan kepada kontraktor dapat dijelaskan.

Katanya lagi, MoF terpaksa mencari jalan penyelesaian dalam konteks menampung komitmen apabila sesebuah kementerian berbelanja melebihi peruntukan diluluskan.

“Penangguhan kontrak baharu juga tidak bererti projek sedia ada dibatalkan. MoF tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan projek.

“Kontrak baharu ditangguhkan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat. Itu dua perkara yang berbeza.

“Sebab itulah kewangan negara mesti diurus dengan cermat. Bukan sekadar meluluskan projek, tetapi memastikan ada peruntukan yang mencukupi untuk membayarnya,” ujar bekas menteri itu.

Tengku Zafrul menambah, pihaknya faham masih banyak kampung di Sabah dan Sarawak menunggu infrastruktur jalan raya yang lebih baik.

Atas dasar itu, katanya, kerajaan terus menyediakan RM2.27 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar serta RM34.9 bilion untuk Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2027, tertinggi antara semua negeri.

“Sabah dan Sarawak tidak wajar dijadikan modal politik oleh sesiapapun. Sepertimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, peruntukan sahaja tidak mencukupi tanpa tadbir urus yang baik.

“Apa yang penting adalah projek dilaksanakan, kontraktor dibayar dan rakyat mendapat manfaat. Itulah keutamaan kita,” jelas beliau.

Scroll to Top