saifulaffendy@hmetro.com.my
Sepang: Keadaan permukaan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang semakin kurang memuaskan mencetuskan rungutan dalam kalangan pelumba MotoGP, malah ada yang berharap kerja menurap semula litar itu dapat dilakukan.
Rungutan itu disuarakan selepas pelumba mengharungi sesi Latihan Bebas 1 (FP1) pada sebelah pagi dan sesi latihan petang, dengan beberapa bahagian permukaan litar dikatakan semakin rosak serta menjejaskan cengkaman jentera.
Antara yang meluahkan rasa kurang senang ialah pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta yang menyifatkan keadaan permukaan tar di litar itu semakin merosot dari tahun ke tahun.
Menurutnya, walaupun keadaan litar tidak terlalu berbonggol, terdapat beberapa bahagian permukaan tar yang rosak sehingga boleh menyebabkan pelumba kehilangan cengkaman pada tayar hadapan.
“Seperti setiap tahun, keadaan permukaan tar nampaknya semakin teruk, dengan banyak bahagian sudah rosak dan tertanggal. Sejujurnya, tidak banyak bonggol di litar ini, tetapi apabila melalui bahagian permukaan yang benar-benar teruk, pelumba mudah kehilangan cengkaman pada tayar hadapan.
“Keadaan ini semakin merosot dari tahun ke tahun. Kali ini, batu-batu kecil pada permukaan tar juga sudah mula tertanggal,” katanya.
Pendahulu kejuaraan MotoGP, Marc Marquez turut mengakui permukaan litar berkenaan sudah tiba masanya untuk diturap semula, meskipun dia tidak melihat perubahan ketara berbanding ketika sesi ujian sebelum ini.
“Sudah tiba masanya untuk trek ini diturap semula, seperti yang kami katakan tahun lalu,” kata perlumba Ducati itu.
Marquez bagaimanapun tetap mempamerkan prestasi cemerlang apabila mengungguli FP1 pada sebelah pagi sebelum sekali lagi mencatat masa terpantas pada sesi latihan petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




