Kuala Lumpur : Institut Jantung Negara (IJN) melangkah ke hadapan dalam mempertingkat akses perkhidmatan kesihatan menerusi penjenamaan semula stesen MRT Raja Uda – Institut Jantung Negara di Laluan MRT Putrajaya, di sini semalam.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN, Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya berkata, kerjasama bersama Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) itu menyaksikan identiti IJN kini dipaparkan pada papan tanda stesen, peta laluan serta pengumuman rasmi di dalam tren.
Menurutnya, inisiatif berkenaan memberi panduan lebih jelas dan memudahkan perjalanan pesakit, keluarga, pelawat serta kakitangan hospital, memandangkan pengalaman penjagaan kesihatan bermula sebelum mereka tiba di pintu hospital.
“Bukan sekadar menghubungkan stesen MRT dengan hospital, malah mewujudkan peluang untuk menghubungkan lebih ramai orang dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
“Menerusi jangkauan ribuan pengguna awam setiap hari, IJN turut berhasrat meneroka kerjasama dari aspek pendidikan kesihatan, kempen kesedaran dan program saringan awal bersama pihak kementerian serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya pada majlis pelancaran stesen berkenaan.
Majlis disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.
Mengulas lanjut, Hannah memuji kerjasama strategik itu dalam memudahkan urusan masyarakat, terutamanya warga emas dan individu yang mempunyai pergerakan terhad.
Beliau turut menyambut baik komitmen DBKL yang bakal menaja pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung dari stesen berkenaan terus ke IJN bagi memberi keselesaan tambahan kepada pesakit.
“Saya mengalu-alukan komitmen DBKL untuk menaja laluan pejalan kaki berbumbung menuju ke IJN. Kita juga berharap dapat memperluas kerjasama saringan awal kesihatan jantung supaya penyakit dapat dikesan lebih awal sebelum melarat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




