SMK Putera optimis capai sasaran empat terbaik di Zon Timur

SMK Putera optimis capai sasaran empat terbaik di Zon Timur

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Biarpun beberapa pemainnya turut memperkuatkan pasukan lain, pasukan Puterass atau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera yang juga Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kelantan tetap optimis mampu memberi saingan sengit pada Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Timur pada 20 dan 21 November ini.

Jurulatihnya, Suhairi Nordin berkata, kualiti pemain yang dimiliki ketika ini masih mampu membantu pasukan mencapai sasaran untuk berada dalam kelompok empat terbaik, sekali gus melayakkan diri ke Grand Final.

Menurutnya, skuad itu bakal dibarisi pemain berkualiti berusia 15 dan 16 tahun, termasuk beberapa pemain yang pernah beraksi pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

“Walaupun ada beberapa pemain kami beraksi dengan pasukan lain, kami tetap mempunyai pemain berkualiti untuk memberi saingan.

“Sasaran awal kami adalah berada dalam kelompok empat pasukan terbaik bagi melayakkan diri ke Grand Final.

“Kami akan cuba memberikan saingan kepada pasukan lain yang turut mengambil bahagian,” katanya.

Suhairi berkata, penyertaan pemain SMK Putera bersama kelab luar turut memberi peluang kepada pemain muda mengembangkan bakat selain membantu mereka mendapatkan pendedahan menerusi pertandingan kompetitif.

Beliau berkata, pemain yang beraksi bersama pasukan lain itu kebanyakannya berusia bawah 14 tahun, manakala skuad yang dibawanya kali ini memberi tumpuan kepada pemain berusia 15 dan 16 tahun.

Katanya, penyertaan dalam kejohanan itu menjadi sebahagian daripada persiapan awal pasukan bagi menghadapi MSSM tahun depan.

“Persiapan ini boleh dianggap sebagai projek awal kami untuk MSSM tahun depan.

“Saya menggabungkan pemain berusia 15 dan 16 tahun supaya mereka mendapat lebih banyak pengalaman serta membina keserasian dalam permainan,” katanya.

Suhairi berkata, pemain yang mewakili SMK Putera bukan hanya berasal dari Kota Bharu, sebaliknya turut merangkumi bakat dari beberapa daerah lain di Kelantan termasuk Pasir Mas, Tanah Merah dan Gua Musang.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penganjuran Liga Takraw Nasional Mekdi sebagai perkembangan positif buat pembangunan sepak takraw, khususnya dalam kalangan pemain muda yang memerlukan lebih banyak platform pertandingan.

Katanya, tawaran hadiah lumayan dan peluang beraksi di pentas Grand Final mampu meningkatkan motivasi pemain selain menyemarakkan persaingan dalam sukan berkenaan.

“Sudah lama kita menantikan kejohanan besar yang memberi tumpuan kepada pembangunan pemain bawah umur.

“Saya berharap liga ini dapat diteruskan setiap tahun kerana ia sangat bagus untuk pembangunan sepak takraw negara.

“Ketika ini, minat terhadap sepak takraw semakin meningkat dan kejohanan seperti ini boleh menjadi platform terbaik untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu,” katanya.

Justeru, SMK Putera bersedia memanfaatkan peluang beraksi di Zon Timur bagi membuktikan kemampuan mereka, sekali gus merealisasikan sasaran untuk melangkah ke Grand Final.

Pasukan yang berminat untuk menyertai saingan di Zon Timur boleh melayari https://forms.gle/ofTG1orbEkhYbo6w6.

Johan zon akan membawa pulang RM5,000 berserta piala dan medal, manakala naib johan menerima RM3,000 dan tempat ketiga bersama menerima RM1,500 setiap satu.

Turut disediakan hadiah RM500 untuk pemain terbaik bagi setiap posisi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top