Ab Rauf tamat pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan

Ab Rauf tamat pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan

am@hmetro.com.my

Melaka: Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) menerusi Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL.Q) selama dua tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Ab Rauf berkata, surat rasmi pengesahan Senat UKM diserahkan oleh Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh bersama delegasi universiti yang berkunjung ke kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kajiannya bertajuk Pengurusan Teknologi Digital dalam Kalangan Komuniti Kampung Tradisional: Analisis Inisiatif Kampung Digital Melaka menumpukan kepada usaha memanfaatkan teknologi digital dalam kalangan masyarakat kampung tradisional bagi mendepani arus transformasi digital.

“Bagi saya, ilmu bukan sekadar untuk memperoleh segulung ijazah, tetapi mesti diterjemahkan kepada manfaat dan perubahan untuk rakyat.

“Saya mendedikasikan kejayaan ini buat seluruh rakyat Melaka. Ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi penghargaan buat Melaka dan komitmen saya untuk terus memperkasakan inisiatif Kampung Digital demi masa depan rakyat,” katanya.

Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga UKM, pensyarah dan pasukan penyelidik atas bimbingan, sokongan serta kerjasama sepanjang tempoh beliau menyiapkan kajian berkenaan.

Beliau berkata, hasil kajian itu akan diterbitkan dalam bentuk jurnal untuk dijadikan bahan rujukan dan inspirasi kepada generasi akan datang, khususnya dalam memperkasakan agenda pendigitalan komuniti luar bandar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top