am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kementerian Komunikasi memberi jaminan tiada sebarang gangguan Internet menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November nanti.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah meninjau dan mengambil tindakan awal di pusat pengundian.
“Setakat ini, MCMC memaklumkan semua pusat mengundi (tiada masalah Internet), isu ini sudah diteliti lebih awal.
“Kita jangka tiada masalah Internet di pusat mengundi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), di sini, hari ini.
Fahmi berkata, beliau akan ke Melaka esok bagi meninjau situasi kempen termasuk melawat Pusat Media.
“Kita juga akan teliti aduan yang mungkin akan diterima nanti.
“Sekiranya ada pihak yang melihat kandungan bersifat palsu atau fitnah terhadap mana-mana calon, saya minta lapor segera kepada MCMC.
“Selain itu, mereka juga boleh buat aduan terus kepada Facebook, TikTok dan sebagainya,” katanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan, seramai 79 calon mewakili pelbagai parti dan gabungan politik serta calon Bebas layak bertanding dalam PRN Melaka ke-16.
© New Straits Times Press (M) Bhd




