SHAH ALAM – Kementerian Kerja Raya (KKR) digesa untuk mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberikan penjelasan bertulis dan bukti dalam tempoh tujuh hari mengenai kemampuan aplikasi TuJu.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, mereka perlu memberitahu berhubung taklimat kepada Perdana Menteri, pemilihan syarikat Prosignal, kemungkinan konflik kepentingan, keselamatan data pengguna dan sebarang tanggungan kewangan LLM.
“Penjelasan itu mesti didedahkan kepada umum supaya rakyat dapat menilai sendiri. Hanya maklumat yang benar-benar sulit boleh dikecualikan.
“Jika terbukti berlaku kecuaian serius atau salah laku, tindakan tegas mesti diambil. Jangan jadikan pegawai bawahan kambing hitam sedangkan keputusan dibuat oleh pengurusan tertinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, pengurusan tertinggi LLM perlu bertanggungjawab sekiranya didapati menyampaikan maklumat tidak tepat berhubung fungsi aplikasi navigasi TuJu.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang maklumat yang disampaikan wakil LLM dalam mesyuarat berkaitan isu berkenaan perlu dipertanggungjawabkan oleh pihak organisasi terbabit.
Tambah Lim Lip Eng, pihaknya mengalu-alukan kenyataan Fahmi bahawa pengurusan perlu bertanggungjawab sekiranya kerajaan diberikan maklumat mengelirukan mengenai kemampuan aplikasi TuJu.



