Pintu Liga M kembali terbuka buat tujuh pemain

Pintu Liga M kembali terbuka buat tujuh pemain

zulfaizan@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Selepas melalui tempoh ‘rehat’ panjang, tujuh pemain yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) akhirnya bebas daripada hukuman itu dan boleh kembali beraksi bermula hari ini.

Mereka yang terbabit ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang sebelum ini dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh badan induk bola sepak dunia itu susulan kes pemalsuan dokumen berkaitan status warisan mereka.

Tempoh penggantungan terhadap ketujuh-tujuh pemain berkenaan secara rasmi berakhir, semalam, sekali gus membolehkan mereka kembali terbabit dalam mana-mana aktiviti bola sepak.

Perkara itu juga sudah dimaklumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu surat bertarikh 30 Oktober 2026 yang dipanjangkan kepada pasukan Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd ketika dihubungi mengesahkan surat itu dipanjangkan kepada pasukan sebagai pemakluman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan FIFA.

Untuk rekod, hukuman itu dikenakan oleh FIFA pada September tahun lalu, namun Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Januari lalu membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan oleh tujuh pemain terbabit.

Bagaimanapun, pada Mac lalu, CAS memutuskan hukuman penggantungan selama 12 bulan itu dikekalkan tetapi ia hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

Berakhirnya hukuman itu, ia pasti memberi perkembangan positif buat kelab pemain terbabit termasuk empat tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Figueiredo, Palmero, Irazabal dan Hevel.

Figueiredo dan Irazabal juga dilihat mengikuti skuad Harimau Selatan, semalam bagi mengharungi aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Jeonbuk Hyundai Motors di Stadium Jeonju, Selasa ini.

Ia berdasarkan gambar yang dikongsikan JDT di laman media sosial mereka, semalam menunjukkan dua pemain terbabit bersama skuad Xisco Munoz sebelum terbang ke Korea Selatan.

Sementara itu, Holgado pula sebelum ini dikaitkan bakal beraksi dalam Liga M selepas DPMM FC tampak benar-benar serius mahu mendapatkan khidmat penyerang berusia 31 tahun itu.

Menerusi perkongsian di laman sesawang mereka pada 24 Oktober lalu, DPMM memaklumkan bahawa bekas penyerang Harimau Malaya itu semakin hampir untuk menyertai kelab berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top