AMANAH yakin sapu bersih empat kerusi dipertandingkan pada PRN Melaka

AMANAH yakin sapu bersih empat kerusi dipertandingkan pada PRN Melaka

nuratikah@bh.com.my

Subang Jaya: Parti Amanah Negara (AMANAH) meletakkan keyakinan menyapu bersih empat daripada tujuh kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, sasaran itu realistik berdasarkan rekod pertandingan dan prestasi kukuh gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Kita ada lima kerusi yang kita mempunyai harapan yang besar. Daripada lima ini, empat itu hampir-hampir… boleh saya katakan ‘we are there already’.

“Sekiranya lagi dua kerusi memberi saingan, saya rasa kita akan menyumbang satu jumlah yang sangat signifikan dalam pembentukan Kerajaan Negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Negeri Selangor di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pencalonan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, sebagai ‘poster boy’, beliau menyifatkan Adly sebagai antara individu yang layak diketengahkan.

Bagaimanapun katanya, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan kemenangan parti gabungan itu terlebih dulu sebelum memikirkan individu yang sesuai memegang jawatan sebagai Ketua Menteri.

“Bukan kerana kita nak menamakan seseorang, tetapi nak menggambarkan pasukan kita di Melaka ini berpengalaman.

“Saya tak katalah tak ada cacat cela, tetapi (Adly) sudah melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sebelum dijatuhkan kerana komplot politik yang sangat memalukan.

“Jadi kalau Pengarah Pilihan Raya PH (Datuk Seri Amirudin Shari) menyebut begitu, mungkin maksud dia itu ‘one of the poster boy’.

“Yang penting kita menang dulu dan untuk menang, jentera kita perlu bergerak bantu cukup-cukup (kempen) dan menangkan calon, (jadi) masalah Ketua Menteri mudah diuruskan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru seluruh jentera dan ahli parti supaya memanfaatkan baki tempoh kempen yang ada untuk menarik sokongan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita ada masa 13 hingga 14 hari lagi. Ini bukan tempoh yang panjang, tetapi cukup untuk kita bekerja keras, membantu jentera dan menyedarkan pengundi.

“Kita perlu membawa mesej (parti gabungan) PH adalah kerajaan yang jauh lebih prihatin demi rakyat Melaka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top