mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Super apabila mencatat kemenangan keenam musim ini selepas menewaskan Star City 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Kemenangan itu hadir dalam aksi mendebarkan apabila skuad kendalian Kim Pan-gon terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung perlawanan, namun berjaya mempertahankan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat.
Pan-gon mempertaruhkan gandingan Chrigor Moraes dan Hugo Boumous di jentera serangan bagi memburu jaringan, manakala Star City diketuai arkitek tengah, Endrick Dos Santos.
Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi Hugo Boumous yang mudah menolak masuk bola untuk menewaskan penjaga gol Star City, Farhan Abdul Majid.
Jaringan itu menyaksikan tuan rumah mendahului 1-0, namun kelebihan berkenaan hampir terjejas apabila kapten pasukan, Chrigor Moraes dilayangkan kad merah pada minit ke-81.
Keputusan itu dibuat selepas semakan bantuan video pengadil (VAR) mendapati penyerang Brazil berkenaan melakukan tindakan susulan terhadap pemain lawan.
Bagaimanapun, Selangor terus bertahan dengan disiplin tinggi untuk memastikan kemenangan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




