Tragedi lori hempap MPV: Dua beradik lambai jenazah ibu bapa, jururawat turut sebak

Tragedi lori hempap MPV: Dua beradik lambai jenazah ibu bapa, jururawat turut sebak

am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), malam ini, apabila dua beradik yang terselamat dalam nahas meragut nyawa ibu bapa mereka diberi peluang menatap wajah terakhir insan tersayang.

Muhammad Adam, 8, dan Hasya Fahira Zulkifli, 11, dibawa turun dari wad menggunakan kerusi roda selepas mengalami kecederaan dan melecur dalam nahas yang mengorbankan ibu bapa mereka, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, tengah hari tadi.

Dengan dibantu dua jururawat, kedua-dua beradik itu kemudian dibawa masuk ke Jabatan Forensik untuk memberikan penghormatan terakhir kepada ibu bapa mereka.

Hasya Fahira dilihat menitiskan air mata ketika beberapa kali mengucup jenazah ibu bapanya sebelum adiknya, Muhammad Adam, turut berbuat demikian.

Sebaik jenazah kedua-dua ibu bapa mereka dibawa keluar dengan van jenazah, Muhammad Adam dan Hasya Fahira melambaikan tangan sambil berlinangan air mata.

Situasi meruntun jiwa itu turut menyebabkan dua jururawat yang menemani mereka tidak dapat menahan sebak, malah dilihat mengesat air mata.

Dalam pada itu, jenazah Mohd Hardi dan Tengku Syafirana selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Parit Maimon, Parit Sulong, jam 11.45 malam ini.

Sebelum itu, jenazah pasangan suami isteri berkenaan dibawa ke rumah keluarga mereka di kampung sama untuk disolatkan dengan dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan penduduk kampung.

Dalam kejadian di Jalan Yong Peng-Muar, dekat Parit Yaani, tengah hari tadi, Mohd Hardi dan Tengku Syafirana maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap lori membawa muatan pasir yang terbabas dipercayai akibat tayar pecah.

Dua anak pasangan itu pula mengalami kecederaan di kepala serta luka dan melecur pada kaki, selain masih menerima rawatan di HSNI.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top