Petanda AS-Israel semakin hampir serang Iran

Petanda AS-Israel semakin hampir serang Iran

WASHINGTON: Ketegangan ketenteraan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terus mening­kat selepas Presiden, Donald Trump mengarahkan kapal peng­angkut pesawat ketiga AS dihantar ke Asia Barat, meski­pun beliau mendakwa konflik itu akan berakhir tidak lama lagi.

Markas Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan penempatan tiga kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat di Asia Barat merupakan peningkatan kekuatan tentera laut terbesar negara itu di rantau berkenaan sejak pencerobohan Iraq pada 2003.

Dua pegawai AS berkata, kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt bersama Unit Ekspedisi Marin Ke-13 dijadual tiba di Asia Barat menjelang akhir November.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setibanya di rantau itu, USS Theodore Roosevelt akan beroperasi bersama USS George H.W. Bush yang dikerahkan pada April dan USS George Washington yang tiba pada Ogos bagi menggantikan USS Abraham Lincoln.

Trump menyatakan keyakinan konflik itu yang dimulakannya pada 28 Februari apabila menyerang Teheran bersama Israel akan berakhir dalam masa terdekat tetapi tidak memberikan garis masa atau strategi khusus bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Ia akan berakhir tidak lama lagi. Kita memerlukan jaminan  senjata nuklear tidak akan dimiliki selama-lamanya,” katanya dalam temu bual dengan sebuah stesen radio di Bandar Kansas.

Dalam pada itu, Israel dila­porkan sudah melengkapkan persiapan bagi kemungkinan menyambung semula permusuhan dengan Iran, ketika Trump pada Sabtu menyebut Gunung Pickaxe sebagai salah satu sasaran yang masih belum diserang.

Akhbar Israel, (Yedioth Ahronoth) melaporkan tentera negara itu sudah memuktamadkan perancangan bagi operasi serangan dan pertahanan, manakala keputusan untuk menyambung semula pertempuran terletak di tangan Trump ketika Washing­ton dan Teheran masih meneruskan rundingan.

Persiapan Israel itu bukan sekadar melibatkan perancangan menghadapi kemungkinan serangan. 

Tentera udara negara itu ber­ulang kali melakukan penerbangan membabitkan puluhan jet pejuang dan pesawat pengisi minyak melalui ruang udara Syria serta Iraq menuju sempadan Iran bagi melatih laluan serangan yang mungkin digunakan, lapor Yedioth Ahronoth yang memetik sumber politik tanpa mendedahkan identiti mereka.

Akhbar itu turut melaporkan 10 pesawat pengangkut tentera AS tiba di pangkalan udara Israel sejak beberapa hari lalu sebagai sebahagian daripada operasi penghantaran peralatan ketenteraan ke rantau berkenaan.

Ketua Markas Pusat AS (CENTCOM), Brad Cooper membentangkan beberapa pilihan untuk melancarkan semula serangan kepada Trump dalam satu mesyuarat yang turut dihadiri Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth dan Pengerusi Ke­tua Turus Bersama, Dan Caine.

Menurut laporan itu, belum ada keputusan dibuat berhubung penyambungan semula operasi ketenteraan.

Sumber Israel yang dipetik akhbar berkenaan mempersoalkan sama ada satu lagi kempen serangan udara mampu mencapai objektif strategiknya.

Amaran turut diberikan sumber tersebut dengan menyatakan bahawa serangan terhadap kemudahan nuklear, sistem peluru berpandu dan infrastruktur ketenteraan Iran tidak semestinya mampu menggulingkan kerajaan negara itu atau meng­ubah dasar-dasarnya. 

 

Scroll to Top