EURO: Rep Czech mara ke suku akhir

EURO: Rep Czech mara ke suku akhir

BUDAPEST, Hungary: Republik Czech mara ke suku akhir Euro 2020 selepas menewaskan Belanda 2-0 di Puskas Arena, Budapest.

Skuad kendalian Jaroslav Silhavy memanfaatkan kelebihan pemain selepas Matthijs de Ligt dibuang padang pada minit ke-55 untuk mengatasi Belanda kendalian Frank de Boer.

Tomas Holes muncul wira Rep Czech selepas menanduk masuk gol pembukaan pada minit ke-68 hasil umpanan Tomas Kalas.

Belanda yang seperti hilang punca selepas gol pertama dihukum lagi apabila Holes melepasi benteng mereka untuk membuat umpanan yang disempurnakan Patrik Schick pada minit ke-80.

Ia adalah gol keempat Schick di kejohanan ini dan hanya satu gol di belakang pendahulu, Cristiano Ronaldo dari Portugal yang akan beraksi sebentar lagi.

Republik Czech akan bertemu Denmark dalam aksi suku akhir yang akan berlangsung di Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan Ahad ini. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top