am@hmetro.com.my
Melaka: Perang bendera PRN Melaka belum memuncak, namun Barisan Nasional sudah bersedia ‘membirukan’ kawasan Parlimen Tangga Batu dengan 15,000 bendera.
Pemasangan digerakkan jentera Pemuda BN itu membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang, Klebang, Pantai Kundor dan Paya Rumput.
Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, keadaan kempen yang masih belum rancak termasuk ketiadaan perang bendera secara besar-besaran bukan petanda jentera parti tidak bergerak.
Sebaliknya, kata beliau, pemasangan bahan kempen hanya mula rancak selepas proses penamaan calon selesai dan dijangka lebih meriah dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
“Memang ramai bertanya kenapa Melaka masih belum ada perang bendera, tetapi sebenarnya di Melaka memang begitulah.
“Kita tidak ada apa yang hendak diperangi, seperti kata Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kita berpolitik secara sihat tanpa hasad dengki atau hasut-menghasut,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran pemasangan bendera oleh jentera Pemuda BN Parlimen Tangga Batu di Pusat Gerakan BN Parlimen Tangga Batu di Sungai Udang, malam tadi.
Hadir sama, calon BN bagi DUN Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan calon BN untuk DUN Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi.
Rais yang juga calon BN DUN Sungai Udang berkata, pembabitan pemuda menjadi antara kekuatan penting dalam menggerakkan kempen, khususnya memastikan jentera terus aktif mendekati pengundi di peringkat akar umbi.
Kata beliau, gerak kerja parti turut diselaraskan bersama Friends of BN bagi memastikan persiapan menghadapi PRN berjalan lancar, selain memberi tumpuan kepada usaha menyantuni masyarakat dan mengambil maklum aduan penduduk.
“Kita menyantuni masyarakat sebanyak mungkin dan mengambil maklum aduan rakyat sebelum ini.
“Jika diberi ruang, peluang dan mandat, sudah tentu kita akan pastikan isu berkenaan diberi perhatian dan diselesaikan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerjasama jentera BN dan PAS di Parlimen Tangga Batu turut berjalan baik, termasuk membantu Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Rafie Ahmad yang bertanding di DUN Paya Rumput.
Menurut beliau, ini terbukti pada hari penamaan calon apabila Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan beberapa wakil PAS lain turut bersama mengiringinya, begitu juga di kawasan di mana calon BN bertanding.
“Kita saling melengkapi antara satu sama lain untuk menggerakkan jentera di seluruh kawasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




