Iran beri amaran perang baharu mungkin lebih lama

Iran beri amaran perang baharu mungkin lebih lama

Tehran: Iran memberi amaran sebarang perang baharu dengan Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan berlarutan lebih lama berbanding konflik terdahulu.

Ia selepas Presiden Donald Trump memberi bayangan Washington masih mempunyai beberapa sasaran untuk diserang.

Usaha diplomatik bagi menamatkan perang di Asia Barat terus dibayangi ancaman berulang AS dan Israel untuk menyambung serangan udara.

Jurucakap tentera Iran, Mohammad Akraminia, berkata konflik baharu berkemungkinan berlangsung lebih lama dan Presiden AS tidak akan dapat menentukan masa atau syarat untuk menamatkannya.

“Perang yang mungkin berlaku pada masa depan boleh berlarutan lebih lama berbanding konflik terdahulu, dan Presiden Amerika tidak akan berada dalam kedudukan untuk menentukan masa atau syarat penamatannya,” katanya menurut stesen televisyen kerajaan Iran.

Dalam fasa paling sengit konflik yang bermula pada 28 Februari susulan serangan AS-Israel ke atas Iran, Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke beberapa lokasi di rantau itu.

Kumpulan bersenjata yang mempunyai hubungan dengan Iran turut menyertai pertempuran di Lubnan dan Yaman.

Kenyataan Akraminia itu menyusul selepas Trump membayangkan AS boleh menyerang baki sasaran di Iran dalam tempoh singkat.

“Kita masih perlu menguruskan, saya katakan satu atau dua lokasi, tetapi kita boleh melakukannya dalam tempoh 10 minit,” kata Trump kepada pemberita.

“Lokasi Pickaxe Mountain mungkin boleh dilihat, dan kita perlu menguruskan tempat itu. Kita boleh melakukannya dengan sangat pantas,” katanya, merujuk kepada kompleks nuklear bawah tanah yang disyaki wujud di lokasi berkenaan.

Trump mengulangi ancamannya pada Ahad ketika berucap dalam satu perhimpunan kempen di Iowa menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS, dengan berkata beliau mungkin perlu memberi Tehran “pukulan keras” pada masa yang tidak dinyatakan.

Amaran itu dibuat selepas media AS melaporkan Trump mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Sabtu bagi membincangkan kemungkinan dan masa untuk meningkatkan operasi ketenteraan terhadap Republik Islam itu.

Portal Axios memetik seorang pegawai AS dan seorang pegawai Israel sebagai berkata, kedua-dua pemimpin membincangkan perkembangan rundingan dengan Iran.

Netanyahu dilaporkan mendesak Trump menyerang Iran sejurus selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada Selasa, manakala Trump mahu memberi peluang kepada rundingan untuk diteruskan.

Sumber Israel menyifatkan perbualan itu sebagai tegang, manakala sumber AS berkata ia berlangsung secara terus terang, menurut Axios.

Ketika ditemui pemberita pada Ahad, Trump mengesahkan beliau membincangkan Iran dengan Netanyahu, namun enggan mengulas lanjut.

Pegawai kanan tentera dan politik Iran turut memberi amaran terhadap sebarang serangan baharu.

Jurucakap Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Hossein Mohebbi, pada Ahad mengulangi amaran yang disampaikan sehari sebelumnya menerusi kenyataan bertulis pemimpin agung baharu Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei.

“Dalam konflik dengan Amerika, tiada batasan geografi; medan yang luas sudah ditetapkan untuk memberikan kerosakan kepada musuh,” katanya menurut televisyen kerajaan.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, pula berkata Tehran berharap pihak satu lagi akan bertindak secara rasional dan memilih jalan diplomasi.

“Kami berharap pihak satu lagi akan menggunakan pertimbangan rasional dan memilih diplomasi,” katanya, sambil menegaskan Iran “kekal bersedia untuk pertahanan dan diplomasi”, menurut agensi berita rasmi IRNA.

Amaran itu dikeluarkan selepas ketua keselamatan Iran, Mohsen Rezaei, mendedahkan pada Sabtu bahawa beliau menerima surat daripada Naib Presiden AS, JD Vance, yang bertujuan menghidupkan semula rundingan.

Rezaei menyifatkan perubahan “nada” pihak AS sebagai perkembangan positif, namun berkata beliau masih belum memberikan maklum balas.

Beliau berkata Tehran sebelum ini sudah memaklumkan kepada Washington bahawa selagi syarat Iran tidak dipenuhi, Selat Hormuz tidak akan dibuka semula dan rundingan juga tidak akan diadakan.

Antara syarat itu termasuk pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara, penamatan sekatan laut AS terhadap pelabuhan Iran yang berlarutan beberapa bulan, pemansuhan sekatan lama serta penamatan perang di semua medan.

Sejak perang bermula, Iran mendakwa menguasai Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan tenaga global, dan berulang kali menyasarkan kapal yang cuba melaluinya tanpa kebenaran Tehran.

AS pula mengenakan sekatan laut balas terhadap pelabuhan Iran.

Penasihat diplomatik kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Anwar Gargash, berkata negaranya berharap pertukaran tindakan dan rundingan akan menghasilkan kemajuan, namun tetap bersedia menghadapi kemungkinan terburuk.

“Bukan kepentingan rantau ini untuk melalui satu lagi pusingan (perang)… Namun, saya fikir kami juga, seperti yang pernah ditunjukkan sebelum ini, bersedia menghadapi kemungkinan terburuk,” katanya pada satu persidangan di Manama, Bahrain, pada Ahad.

Di Tehran, beberapa penduduk menyuarakan rasa tidak berdaya ketika ancaman pertempuran baharu semakin meningkat.

“Berita yang diterima benar-benar membimbangkan. Namun… tiada apa-apa yang boleh saya lakukan mengenainya,” kata Mohadese, 27, seorang pemeriksa kesihatan kepada AFP.

Bagaimanapun, seorang peniaga berusia 48 tahun, Ebrahim, berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk berasa bimbang.

“Kami tidak takut dengan perang baharu; kami sudah berperang selama 48 tahun – kami sentiasa berperang,” katanya di pusat bandar Tehran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top