sukan@hmetro.com.my
Sepang: Aprilia Racing mengakui jentera RS-GP masih mempunyai kelemahan ketika melalui bahagian tertentu di Litar Antarabangsa Sepang, terutama ketika memecut keluar dari selekoh berkelajuan rendah selepas membrek kuat.
Kekurangan itu terus menjadi cabaran kepada pengeluar Itali berkenaan dalam usahanya memburu kemenangan sulung dalam perlumbaan kelas perdana Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Malaysia.
Ketua Komunikasi Sukan Permotoran Kumpulan Piaggio, Antonio Boselli, berkata Aprilia menunjukkan peningkatan prestasi ketara sepanjang musim 2026, namun beberapa aspek jentera masih perlu diperbaiki bagi memastikan pasukan mampu bersaing secara konsisten di semua litar.
Beliau berkata, antara cabaran utama ialah mendapatkan pecutan optimum ketika motosikal bergerak pada kelajuan rendah selepas melalui zon membrek kuat, keadaan yang dapat dilihat dengan jelas di sektor terakhir Sepang.
“Sepang adalah antara litar yang selama ini menyukarkan Aprilia Racing mendapatkan prestasi terbaik. Inilah antara litar yang menunjukkan bahagian jentera yang masih perlu kami perbaiki, terutama di sektor terakhir.
“Kami masih perlu meningkatkan prestasi ketika keluar dari selekoh perlahan selepas membrek kuat. Di Sepang terdapat banyak kawasan membrek kuat dan selekoh terakhir adalah contoh terbaik mengenai bahagian yang masih perlu kami perbaiki,” katanya dalam temu bual sempena Grand Prix MotoGP Malaysia 2026 pada Sabtu.
Sepang mempunyai susun atur sepanjang 5.543 kilometer yang menggabungkan dua laluan lurus panjang, selekoh pantas dan beberapa zon membrek kuat.
Karakter berkenaan menuntut jentera bukan sahaja mempunyai kelajuan maksimum tinggi, malah perlu stabil ketika membrek dan mampu memecut dengan pantas ketika keluar dari selekoh.
Bagaimanapun, Boselli menegaskan kelemahan di Sepang tidak menggambarkan keseluruhan kemampuan RS-GP26 kerana Aprilia berjaya menghasilkan antara jentera paling kompetitif dalam kejuaraan dunia musim ini.
Menurutnya, Aprilia mampu mengatasi pesaing di beberapa litar, selain mencatat peningkatan menyeluruh dalam pembangunan jentera.
“Pada beberapa litar tahun ini, kami sebenarnya lebih kompetitif daripada pesaing. Jadi, dalam beberapa keadaan, RS-GP26 menjadi penanda aras kepada jentera lain.
“Jika saya perlu memilih satu aspek yang menunjukkan kemajuan paling besar, ia adalah aerodinamik. Saya fikir Aprilia Racing menjadi antara rujukan utama dalam pembangunan aerodinamik MotoGP,” katanya.
Selain aerodinamik, kemajuan RS-GP26 turut merangkumi enjin V4, sistem elektronik, casis dan lengan ayun yang membantu meningkatkan kestabilan serta prestasi keseluruhan motosikal.
Keupayaan jentera itu dibuktikan pada Grand Prix Indonesia di Mandalika apabila empat pelumba Aprilia menguasai empat kedudukan teratas, diketuai Marco Bezzecchi yang memenangi perlumbaan.
Aprilia turut memperlihatkan daya saing di Sepang apabila Bezzecchi menamatkan perlumbaan pecut di tempat ketiga, manakala Ai Ogura daripada pasukan SuperFile Trackhouse MotoGP Team menduduki tangga keempat.
Boselli berkata, persaingan MotoGP yang semakin sengit menuntut setiap pengeluar memberikan perhatian terhadap semua komponen jentera kerana penambahbaikan kecil boleh menentukan perbezaan antara kemenangan, podium atau keciciran mata.
Beliau turut menyifatkan Sepang sebagai antara litar paling penting dalam program pembangunan Aprilia kerana digunakan untuk ujian pramusim MotoGP.
Kepelbagaian karakter selekoh, laluan lurus panjang dan keadaan cuaca tropika membolehkan jurutera mengumpulkan data serta mengenal pasti kelemahan motosikal sebelum musim bermula.
“Sepang sangat penting kepada kami. Kami menjalankan ujian di sini dan ia membantu pembangunan motosikal. Pada masa sama, kami bertekad untuk menang di Sepang kerana Aprilia belum pernah menang di sini dalam MotoGP.
“Kemenangan di litar yang mempunyai sejarah dan tradisi hebat ini amat bermakna kepada kami,” katanya.
Rekod perlumbaan menunjukkan Ducati ialah pengeluar paling berjaya di Sepang dengan sembilan kemenangan MotoGP, diikuti Yamaha dan Honda yang masing-masing mencatat enam kemenangan.
Aprilia masih memburu kejayaan sulungnya dalam kelas perdana di Malaysia, sekali gus menjadikan usaha mengatasi kelemahan RS-GP di sektor akhir antara kunci utama untuk merealisasikan sasaran berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




