PRN Melaka: Calon BERSAMA dakwa bendera parti dipatah dan dibakar

PRN Melaka: Calon BERSAMA dakwa bendera parti dipatah dan dibakar

am@hmetro.com.my

Melaka: Calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) di DUN Paya Rumput, Abdul Rashid Abu Bakar mendakwa bendera partinya dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, termasuk dibakar.

Beliau mendakwa, kejadian itu disedari petugas pilihan raya parti berkenaan antara jam 4 pagi hingga 7 pagi semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi berhampiran jambatan Jalan Bukit Rambai mendapati beberapa tiang bendera dipatahkan, selain satu bendera dibakar.

“Susulan kejadian ini, BERSAMA meminta polis menjalankan siasatan terperinci, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak atau individu yang melakukan perbuatan khianat ini supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Batu Berendam di sini, hari ini.

Beliau turut mendakwa satu lagi insiden sama membabitkan kerosakan bahan kempen parti itu berlaku di Alor Gajah apabila bendera yang dipasang dengan permit dicabut pihak tertentu.

Bagaimanapun, menurutnya perkara itu dapat diselesaikan secara baik selepas pihak terbabit memasang semula bendera berkenaan.

Pada masa sama, beliau menyeru semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka supaya berkempen secara sihat dan matang serta menghormati undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.

“Sabotaj dan provokasi melampau tidak sepatutnya berlaku dalam amalan demokrasi.

“Sebaliknya, kempen perlu berlangsung secara aman dan berintegriti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top