Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan mengambil inisiatif menggunakan wang peribadinya selain peruntukan sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh bagi menyalurkan bantuan kepada penduduk Kampung Melayu Subang yang terjejas akibat banjir kilat pada Isnin.
Menurut beliau, bantuan tersebut meliputi makanan, tilam dan pelbagai barangan keperluan asas bagi meringankan beban mangsa yang terpaksa berdepan dengan kesan bencana berkenaan.
“Jumlah mangsa ini ramai. Tapi jangan bimbang kerana selain peruntukan sebagai Ahli Parlimen, saya turut gunakan duit sendiri untuk memberikan bantuan kepada mangsa. Antara barangan yang diberikan kepada mangsa seperti bantuan makanan, tilam dan barang keperluan asas lain kepada mangsa,” katanya.
![]()
Kredit Foto: Sinar Harian
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Siatan pada Selasa bagi meninjau keadaan penduduk terjejas.
Ramanan turut memaklumkan bahawa pegawainya telah diarahkan untuk menemui setiap pemilik rumah yang terlibat bagi mengenal pasti keperluan tambahan yang masih diperlukan.
“Saya telah arahkan pegawai untuk berjumpa dengan setiap pemilik rumah yang terjejas untuk mengetahui bantuan apa lagi yang diperlukan mereka,” ujarnya.
Kredit Foto: FB Ramanan Ramakrishnan Official Media
Dalam pada itu, kerja pembersihan di beberapa lokasi terjejas sudah dimulakan dan akan diteruskan sehingga semua kawasan yang dilanda banjir selesai dibersihkan.
Mengulas langkah menangani masalah banjir berulang, Ramanan berkata, pembinaan kolam tadahan akan dilaksanakan sebagai penyelesaian sementara sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) disiapkan.
Menurutnya, langkah berkenaan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya usaha jangka pendek dilaksanakan bagi mengurangkan kesan banjir di kawasan terbabit.
Beliau menjelaskan, projek RTB Fasa 1 dan Fasa 2 bagi Sungai Buloh serta Sungai Damansara telah mendapat kelulusan dan kini dilaksanakan secara berperingkat.
Setakat ini, kemajuan pembinaan di beberapa kawasan berada pada tahap 30 hingga 40 peratus, manakala lokasi lain sudah mencapai antara 50 hingga 60 peratus.
Ramanan turut menekankan kepentingan kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir tersebut.
Sumber: Kosmo! Online (Nur Alwani Zafirah Khairul), Sinar Harian (Ahmad Ismadi Ismail)




