337 lokasi ‘hotspot’ banjir di Johor dikesan susulan Monsun Timur Laut

337 lokasi ‘hotspot’ banjir di Johor dikesan susulan Monsun Timur Laut

JOHOR BAHRU: Sebanyak 337 lokasi panas atau ‘hotspot’ dikenal pasti sebagai kawasan berisiko terjejas akibat banjir di seluruh Johor susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula di negara ini, sejak minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh bagaimanapun berkata, MTL dijangka melanda negeri ini antara November hingga Januari depan.

Menurutnya, tiga daerah utama yang dikenal pasti sebagai kawasan berpenduduk padat yang dijangka terjejas adalah Kota Tinggi, Batu Pahat dan Segamat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan Johor bakal menerima taburan hujan lebih tinggi daripada biasa menjelang hujung Disember hingga Januari, sekali gus memerlukan persediaan awal di peringkat kerajaan negeri.

“Bagi daerah Kota Tinggi, 35 kawasan perumahan serta kampung dikenal pasti sebagai lokasi panas, dengan 30 jajaran jalan raya dijangka terjejas termasuklah tujuh lokasi di laluan Kota Tinggi – Mersing.

“Di Batu Pahat pula, terdapat 41 lokasi berisiko termasuk di sepanjang Sungai Simpang Kiri dan Sungai Batu Pahat, manakala di Segamat pula sebanyak 29 lokasi telah dikenal pasti,” katanya semasa meninjau projek pembinaan benteng penahan banjir di Jalan Sungai Rinting, Taman Rinting, di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memberitahu, kerajaan negeri menyediakan peruntukan kecemasan sehingga RM30 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan segera di lokasi terjejas melibatkan ketiga-tiga daerah berkenaan.

“Permohonan ini akan disalurkan melalui peruntukan kerajaan negeri dan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi kerja jalan raya, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menggunakan peruntukan bencana.

“Kita akan beri keutamaan mengikut merit serta ‘priority’ kawasan, khususnya yang memberi impak terus kepada penduduk dan laluan utama berbanding kawasan kebun,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top