saadiah_ismail@bh.com.my
Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) diminta menetapkan garis panduan jelas bagi mengawal tindakan syarikat insurans mengeluarkan doktor pakar daripada panel kemudahan tanpa tunai (cashless), bagi memastikan hak pesakit mendapatkan rawatan tidak terjejas.
Ahli Parlimen Bera yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan syarikat insurans mengehadkan kemudahan itu kepada doktor pakar boleh menjejaskan akses pesakit terhadap rawatan, termasuk menyebabkan pembedahan terpaksa dihentikan.
Katanya, terdapat kes pesakit yang sedang menjalani pembedahan terpaksa menghentikan prosedur berkenaan kerana doktor yang merawat mereka tidak mempunyai kemudahan ‘cashless’, sehingga pihak hospital terpaksa memanggil doktor dari hospital lain.
“Persoalannya, apakah kriteria sebenar yang digunakan oleh syarikat insurans untuk mengeluarkan seseorang doktor pakar daripada panel ‘cashless’?
“Apakah tindakan ini dibuat berdasarkan prestasi klinikal, isu etika dan profesional, kelemahan dokumentasi atau semata-mata pertimbangan komersial?” katanya ketika membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan 2027 pada peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail Sabri berkata, jika tindakan itu dibuat atas pertimbangan komersial, jaminan perlu diberikan bahawa doktor tidak diketepikan secara sewenang-wenangnya tanpa penilaian telus dan adil.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), kira-kira 190 doktor pakar di seluruh negara dilaporkan kehilangan kemudahan ‘cashless’, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap akses dan kesinambungan rawatan pesakit.
“Justeru, BNM diminta menjelaskan sama ada terdapat garis panduan khusus yang mewajibkan syarikat insurans memberikan alasan bertulis, bukti serta hak rayuan sebelum seseorang doktor dikeluarkan daripada panel berkenaan.
“Selain itu, di manakah hak pesakit yang membayar premium insurans setiap bulan. Apabila mereka jatuh sakit, pihak insurans mengatur pilihan doktor dalam senarai mereka tanpa mengikut prinsip yang ditekankan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC), iaitu melindungi hak memilih doktor oleh pesakit.
“Adakah prinsip ini dipatuhi oleh syarikat insurans dan apakah tindakan BNM setakat ini?” katanya.
Beliau turut membangkitkan amalan audit retrospektif terhadap tuntutan yang sudah diluluskan oleh syarikat insurans, termasuk AIA dan Prudential.
Katanya, walaupun syarikat insurans mempunyai hak menjalankan audit, proses itu perlu dikawal selia bagi mengelakkan penyalahgunaan, khususnya membabitkan akses kepada rekod perubatan pesakit yang bersifat sulit dan sensitif.
“Terdapat hospital yang diminta membayar semula tuntutan dan memberikan diskaun bagi mengelakkan tindakan ‘depanelment’, sementara doktor pakar turut kehilangan kemudahan ‘cashless’. Adakah BNM mengetahui dan memantau amalan ini?” katanya.
Ismail Sabri berkata, perkembangan teknologi perubatan termasuk pembedahan robotik juga perlu disusuli dengan penambahbaikan sistem kod perubatan, borang, proses kelulusan awal dan kadar bayaran insurans.
Katanya, kelemahan sistem tidak seharusnya menyebabkan doktor dipersalahkan hanya kerana berlaku kekeliruan dalam pengisian borang.
“Jangan sampai teknologi semakin maju tetapi sistem masih ketinggalan sehingga doktor dan pesakit terpaksa menanggung akibatnya.
“Jadi sebaiknya badan profesional dan industri insurans perlu menyemak kod diagnosis serta prosedur perubatan secara berkala seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




