Bukan sekadar Melaka, Gelombang Biru menyusur ke Putrajaya – Hamzah

Bukan sekadar Melaka, Gelombang Biru menyusur ke Putrajaya – Hamzah

PUTRAJAYA – Gelombang Biru yang bermula di Negeri Sembilan kini disasarkan berkembang ke Melaka sebelum diperluaskan ke seluruh negara, termasuk Putrajaya, kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu berkata, gelombang berkenaan bukan sekadar membawa warna politik, sebaliknya melambangkan kebangkitan sebuah harapan untuk membawa suara rakyat ke peringkat nasional.

Menurutnya, perkembangan itu diyakini tidak akan terhenti di sempadan negeri, sebaliknya akan terus diperluaskan dari selatan ke utara serta timur ke barat.

“Wawasan Negara sebagai jambatan kepada kebangkitan gelombang ini yakin Gelombang Biru tidak akan berhenti di sempadan negeri.

“Gelombang ini akan membawa suara rakyat ke seluruh negara, dari selatan, ia akan menyusur ke utara, timur ke barat, hingga akhirnya ke Putrajaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Hantaran itu turut disertakan beberapa gambar beliau menghadiri pertemuan bersama pimpinan dan penyokong Perikatan Nasional (PN).

Meskipun tidak memperincikan secara jelas, Gelombang Biru dipercayai merujuk kepada kerjasama politik antara PN dan BN selepas persefahaman pilihan raya secara ad hoc dengan matlamat utama merampas pentadbiran kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH) berjaya dilaksanakan dalan PRN Negeri Sembilan yang lalu.

Perjanjian persefahaman BN dan BN sekali lagi dilaksanakan dalam menghadapi PRN Melaka dengan melibatkan penyelarasan jentera pilihan raya, mobilisasi pengundi, serta pengurusan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, ia turut membabitkan pengagihan kerusi yang menyaksikan BN bertanding di 23 daripada 28 kerusi DUN Melaka manakala PN pula diperuntukkan dengan lima kerusi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa pihaknya bersedia menjemput wakil-wakil daripada PN yang menang kerusi untuk menyertai barisan pentadbiran Exco kerajaan negeri sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan, mencontohi model kerjasama yang pernah diamalkan di Negeri Sembilan.

Scroll to Top