BANTING: GL Play, cabang perniagaan rekreasi dan hospitaliti Gamuda Land, kembali menganjurkan festival hiburan malam Night Splash! Galaxy Playground di taman tema air SplashMania, Gamuda Cove, dari 30 Oktober hingga 28 November ini.
Festival yang berlangsung setiap Jumaat dan Sabtu, dari pukul 7 malam hingga 11 malam itu menawarkan 39 gelongsor dan tarikan air, selain persembahan muzik elektronik, pertunjukan tarian diod pemancar cahaya (LED), permainan bersaiz besar serta persembahan api.
Penganjuran di kawasan seluas 7.28 hektar itu diadakan bersempena Tahun Melawat Selangor 2026 dengan kerjasama Klook selaku rakan penjualan tiket rasmi.
Memuatkan artikel berkaitan…
Pengurus Besar GL Play, N. Sanjay berkata, Night Splash berkembang sebagai antara destinasi hiburan malam pilihan di Lembah Klang sejak diperkenalkan.
Beliau berkata, edisi Galaxy Playground memperkenalkan konsep hiburan bertemakan kosmik bagi menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung, selain memperluas tarikan taman tema itu kepada golongan muda, keluarga dan pelancong.
“Melalui kerjasama dengan Klook, kami menyokong aspirasi Tahun Melawat Selangor 2026 dengan menyediakan destinasi hiburan yang mampu menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa.
“Pengunjung boleh menikmati gelongsor air di bawah cahaya bintang, berhibur di kolam ombak dan mencipta pengalaman malam yang berbeza,” katanya.
Antara tarikan utama festival itu ialah persembahan DJ oleh PLAYGRND di Omba’King Cove yang menampilkan muzik elektronik dan tarian di kawasan kolam ombak.
Beliau berkata, pengunjung turut disajikan pertunjukan tarian Galaxy Dance Show menerusi persembahan penari berkostum LED dengan gerak tari futuristik, selain pertunjukan api secara langsung.
“Tarikan gelongsor air seperti Monsta dan Plunge! turut dibuka untuk memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung dalam suasana malam.
“Bagi aktiviti keluarga, SplashMania menyediakan kawasan permainan yang menampilkan Giant Jenga serta permainan kembung berbentuk lobak merah untuk kanak-kanak,” jelasnya.
Dari segi harga, tiket dalam talian ditawarkan pada RM65 seorang berbanding RM75 bagi pembelian di kaunter, sekali gus memberikan penjimatan RM10.
Tempahan boleh dibuat menerusi laman web giplay.com.my atau platform Klook.
Pakej Day & Night Combo pula dijual pada harga RM150 seorang menawarkan akses ke taman tema dari pukul 10 pagi hingga 6 petang, sebelum pengunjung boleh meneruskan aktiviti sehingga tamat Night Splash pada pukul 11 malam. – UTUSAN




