sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami kekalahan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas tumpas 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors FC di Stadium Piala Dunia Jeonju, sebentar tadi.
Skuad Harimau Selatan mempamerkan persembahan meyakinkan pada awal permainan apabila banyak mencipta peluang untuk menghasilkan jaringan.
Pemain JDT, Nacho Mendez terlebih dahulu menguji kubu pasukan tuan rumah menerusi rembatan deras pada minit ke-14, namun diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Song Bum-Keun.
Meskipun perlawanan tampak seimbang selepas itu, Jeonbuk terlebih dahulu berjaya berada di depan hasil tandukan Bruno Mota pada minit ke-22.
Skuad kendalian Xisco Munoz cuba bangkit untuk memburu gol penyamaan dengan beberapa gerakan, tetapi gagal membuahkan hasil.
Lebih malang apabila tindakan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menjatuhkan pemain lawan mengundang padah apabila pengadil memberikan sepakan penalti kepada Jeonbuk.
Peluang itu tidak sia-siakan Italo Rosa untuk meledak gol kedua tuan rumah pada masa kecederaan babak pertama, sekali gus meletakkan pasukannya dalam kedudukan lebih selesa.
Aksi sengit terus dipamerkan kedua-dua pasukan pada separuh masa kedua, namun tiada sebarang jaringan dapat dihasilkan hingga wisel penamat.
Keputusan itu menyaksikan JDT jatuh ke tangga ketujuh liga dan kekal dengan tujuh mata selepas mengharungi empat perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




