Tiada layanan istimewa termasuk wakil rakyat di Pulau Pinang jika terbabit kes keganasan rumah tangga

Tiada layanan istimewa termasuk wakil rakyat di Pulau Pinang jika terbabit kes keganasan rumah tangga

am@hmetro.com.my​

Georgetown: Tidak ada keistimewaan atau layanan berbeza terhadap mana-mana individu termasuk wakil rakyat sekiranya didapati terbabit dalam kes keganasan rumah tangga kerana mereka juga tertakluk kepada undang-undang yang sama.

EXCO Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata kerajaan negeri kekal dengan pendirian tegas dalam menentang segala bentuk keganasan rumah tangga, selain menghormati proses siasatan serta prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

“Pendirian kita jelas dan tidak akan berkompromi terhadap keganasan rumah tangga malah tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang.

“Pada masa sama, kita mesti menghormati proses perundangan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secara adil tanpa sebarang prasangka. Biarlah proses undang-undang menentukan tindakan selanjutnya berdasarkan fakta dan bukti diperoleh,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Kelmarin, media melaporkan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini memukul isterinya.

Setakat ini polis sudah merakam keterangan empat individu termasuk ADUN berkenaan dan isterinya bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan. ​

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata sebarang kesimpulan atau hukuman terhadap mana-mana pihak tidak wajar dibuat sebelum fakta sebenar dikenal pasti.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat spekulasi berhubung kes berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri terus memperkukuh usaha pencegahan keganasan rumah tangga menerusi kerjasama dengan Women’s Centre for Change (WCC), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) serta agensi berkaitan.

Katanya, antara inisiatif dilaksanakan ialah Dasar Keluarga Selamat yang diperkenalkan pada 2020 dan rangkaian ‘First Support Point’ (FSP) atau Pusat Sokongan Pertama bagi penyediaan bantuan awal serta menghubung mangsa dengan agensi berkaitan.

“Sehingga 31 Oktober lalu, seramai 646 individu daripada komuniti dan organisasi berkaitan di seluruh negeri ini menerima latihan menerusi rangkaian berkenaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top