Bebas atau penjara 10 tahun: Mahkamah Rayuan putus nasib Da'i Syed hari ini

Bebas atau penjara 10 tahun: Mahkamah Rayuan putus nasib Da'i Syed hari ini

surayaroslan@mediaprima.com.my

Putrajaya: Keputusan rayuan akhir pendakwah selebriti Da’i Syed untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan kerana merogol tujuh tahun lalu atau dibebaskan sepenuhnya akan diputuskan Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah, dijadualkan bersidang bersama Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid bagi mendengar rayuan akhir Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31.

Syed Shah Iqmal yang memakai jubah berwarna putih dan ditemani isterinya, Hana Ismail tiba di mahkamah pada jam 8.55 pagi.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan itu, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen Shah Alam melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 30 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Sesyen, Adlin Abdul Majid menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan dan diperintahkan ke penjara pada hari sama.

Selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini hingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top