Kuala Lumpur: Seramai 1,832 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) masih belum memenuhi satu atau lebih syarat pengesahan dalam perkhidmatan setakat 30 September lalu, dengan 1,799 daripada mereka tidak lulus peperiksaan yang ditetapkan.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan ketidaklulusan itu khususnya membabitkan elemen kefahaman dalam penilaian Program Transformasi Minda (PTM).
“Selain itu, tiga PPP dikenakan pelanjutan tempoh percubaan dengan denda, 29 PPP pelanjutan tempoh percubaan tanpa denda dan seorang PPP dalam tempoh percubaan dibekukan,” menurut KPM.
KPM menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai jumlah guru yang masih belum mendapat pengesahan dalam perkhidmatan, mengikut negeri dan tempoh perkhidmatan serta faktor yang menyebabkan kelewatan proses pengesahan tersebut.
Dalam pada itu, seramai 7,723 PPP sedang dalam proses mendapatkan pengesahan dalam perkhidmatan setakat 30 September lalu.
KPM menjelaskan pengesahan dalam perkhidmatan adalah proses memperakukan bahawa seseorang penjawat awam telah memenuhi semua syarat yang ditetapkan di bawah skim perkhidmatannya atau syarat lain yang ditentukan dari semasa ke semasa, sebelum disahkan sebagai anggota tetap dalam perkhidmatan awam.
Antara syarat yang perlu dipenuhi ialah menamatkan tempoh percubaan antara satu hingga tiga tahun, menghadiri dan lulus Kursus Induksi (Modul Umum) atau PTM, mendapat perakuan Ketua Jabatan serta memenuhi syarat lain yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
KPM komited memastikan urusan pengesahan perkhidmatan PPP serta proses pelantikan tetap dan penempatan PPP Contract of Service dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
Kementerian itu juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan SPP dan semua pihak berkepentingan bagi mempercepat penyelesaian kes yang masih tertangguh, di samping memastikan kebajikan guru terpelihara dan keperluan pendidikan murid di seluruh negara terus diberi keutamaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




