
PERROS-GUIREC: Wanita yang menyebabkan pelanggaran beramai-ramai pelumba dalam Tour de France pada Sabtu lalu mungkin menghadapi hukuman penjara setahun.
Reuters melaporkan pendakwa raya di Brittany, utara Perancis pada Ahad memulakan siasatan selepas wanita yang belum dikenal pasti itu menjadi punca berlakunya kemalangan antara yang terburuk dalam sejarah perlumbaan itu pada Sabtu.
Dalam pada itu, polis Perancis meminta saksi tampil membantu siasatan ke atas kemalangan itu.
Wanita itu dirakam memegang kadbod bertulis “nenek dan datuk” dalam bahasa Jerman sambil memandang ke arah kamera di atas motosikal, dengan membelakangkan kumpulan pelumba yang sedang memecut.
Pelumba Jerman, Tony Martin yang melanggar wanita itu, kemudiannya terjatuh akibat hilang keseimbangan dan menyebabkan pelumba lain yang tidak sempat berhenti, melanggar satu sama lain dan terjatuh.
“Masalah utama Tour de France ialah keselamatan jalan raya,” Joel Scherer dari polis Perancis memberitahu AFP semalam.
Seorang lagi anggota polis berkata, “tiada kematian” ialah matlamat mereka untuk Tour de France atau mana-mana perlumbaan basikal.
Wanita itu yang memakai baju hujan kuning, melarikan diri selepas menyedari kesan daripada tindakannya.
Impian Tour de France untuk pelumba DSM dari Jerman, Jasha Sutterlin musnah kerana beliau ialah satu-satunya peserta yang terpaksa menarik diri pada hari pertama perlumbaan.
‘Kelakuan buruk’
Lapan pelumba lain memerlukan rawatan dan sejumlah lagi peserta dirawat untuk luka dan lebam akibat pelanggaran itu.
Juara Itali, Sonny Colbrelli dan pelumba Belanda, Wout van Aert, yang melanggar Martin sebelum terjatuh, antara pilihan untuk memenangi peringkat pertama perlumbaan itu.
“Kami akan saman wanita ini yang berkelakuan buruk,” Timbalan Pengarah Tour de France, Pierre-Yves Thouault memberitahu AFP.
“Kami mengambil tindakan ini supaya segelintir orang yang berbuat demikian tidak merosakkan perlumbaan.”
Polis bercadang mendakwa wanita itu dengan “kecederaan jangka pendek yang tidak disengajakan melalui pelanggaran tugas keselamatan atau penjagaan yang disengajakan”.
“Kami boleh mengesahkan tiada orang awam yang cedera dan kami bekerjasama dengan penganjur perlumbaan mengenainya,” kata Scherer.
Tour de France membuka tirai pada Sabtu lalu dengan peringkat pertama perlumbaan dari Brest ke Landerneau dimenangi pelumba Perancis, Julian Alaphilippe.




