MOT sedang ambil tindakan tangani isu kesesakan tren – Loke

MOT sedang ambil tindakan tangani isu kesesakan tren – Loke

Petaling Jaya: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang berusaha menangani isu kesesakan perkhidmatan tren termasuk pelbagai cabaran teknikal dihadapi pengendali perkhidmatan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

“Ya, sedang diusahakan oleh pihak Rapid KL untuk kita (MOT) menghadapi pelbagai cabaran teknikal. Kita akan cuba menyelesaikan isu-isu teknikal untuk menambah baik (perkhidmatan),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Jalinan Mesra Kementerian Pengangkutan Bersama Pengamal Media Tamil di sini hari ini

Pada 30 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri Pengangkutan untuk segera menyelesaikan isu kesesakan perkhidmatan tren yang dikhuatiri merencatkan rutin harian rakyat.

Arahan itu susulan rungutan disuarakan seorang individu menerusi platform Threads kepada Anwar mengenai situasi sesak di stesen tren.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kekerapan perkhidmatan tren telah ditambah sempena musim perayaan bagi menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Beliau berkata, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri di Pantai Barat, termasuk Kedah dan Johor, mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita sudah pun menambah perjalanan menjelang Deepavali ini dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berusaha memastikan kekerapan perkhidmatan dapat ditingkatkan supaya lebih ramai rakyat boleh menggunakan tren untuk pulang (ke kampung),” katanya.

Terdahulu, Loke berkata, majlis jalinan mesra berkenaan diadakan sebagai platform mengeratkan hubungan antara kementerian dengan pengamal media Tamil bersempena dengan sambutan Deepavali.

Beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan perkhidmatan kementerian kepada semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti India.

“Kerjasama erat dengan pengamal media penting bagi memastikan maklumat mengenai keselamatan jalan raya, pengangkutan awam, Jabatan Pengangkutan Jalan serta sektor penerbangan dapat disampaikan dengan jelas kepada masyarakat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top