harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang mendarat di kawasan lapang berhampiran Perumahan Sri Pertiwi, Kidurong, Bintulu, Sarawak, hari ini sedang melakukan penerbangan reposisi (repositioning flight).
Pengurus Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd (LLASB), Kapten Shahdon Poong, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.18 petang membabitkan helikopter bernombor pendaftaran 9M-LLE yang dikendalikan seorang juruterbang bersama dua juruteknik.
Beliau berkata, penerbangan berkenaan bukan bagi melaksanakan misi pemindahan perubatan (MEDEVAC) untuk Kementerian Kesihatan (KKM) atau Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
“Pihak syarikat ingin menjelaskan bahawa ketika kejadian, pesawat berkenaan tidak terbabit dengan misi penerbangan pemindahan perubatan (MEDEVAC) bagi pihak KKM mahupun Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
“Pendaratan dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga dan bukan pendaratan kecemasan. Juruterbang dan dua juruteknik kekal selamat sepanjang pendaratan itu dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata juruterbang bertugas sudah memaklumkan situasi di dalam pesawat kepada Pusat Kawalan Udara Bintulu ketika pendaratan dilaksanakan.
Susulan kejadian itu, pihak syarikat menghantar pasukan jurutera ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan teknikal dan penilaian keselamatan.
“Aspek keselamatan menjadi keutamaan dan LLASB komited memastikan semua aspek pengoperasian dan prosedur teknikal dilaksanakan selari dengan standard keselamatan industri penerbangan.
“Pihak syarikat akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kejadian itu selepas meneliti hasil dapatan daripada pasukan kejuruteraan. LLASB memahami kegusaran dan menghargai kerjasama semua pihak terbabit,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan helikopter FDS terbabit melakukan pendaratan sebagai langkah berjaga-jaga di kawasan lapang berhampiran Perumahan Sri Pertiwi, Kidurong.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud, dilaporkan mengesahkan pendaratan helikopter berkenaan pada petang tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




